Meneroka Potensi Kecerdasaran Buatan dalam Pentaksiran dan Penilaian Akademik

Chat GPT (Generative Pre-trained Transformer) adalah model bahasa alami (natural language model) yang dibangunkan oleh OpenAI. Model ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) untuk menghasilkan teks yang boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi seperti pembuatan konten, chatbot, perancangan pentaksiran dan pelbagai lagi. Model Chat GPT dilatih dengan data bahasa yang amat besar bagi menghasilkan teks baharu yang sangat realistik dan mirip dengan teks manusia. Sebagai model bahasa alami, Chat GPT mempunyai banyak potensi dan boleh membawa banyak manfaat dalam pelbagai industri termasuk pendidikan.

Dalam usaha melonjakkan kebolehpasaran graduan UiTM di peringkat antarabangsa, Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Professor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor menyeru warga UiTM untuk menggembleng tenaga di dalam penghasilan pelajar yang serba lengkap dengan “smart & sharp skills”. Pengarah Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA), UiTM telah menaksirkan “smart” dan “sharp skills” sebagai individu yang mempunyai kebijaksanaan, mampu berfikir secara analitikal dan strategik dalam mencipta penyelesaian inovatif untuk masalah yang kompleks. “Sharp”, dalam erti kata lain, merujuk kepada individu yang mampu berfikir dan bertindak dengan cepat dan tepat. Graduan juga perlu pintar dan mampu mengartikulasi serta mengoptimumkan sumber manusia melalui teknologi masakini.

Sebagai salah satu usaha meraikan penggunaan teknologi dalam pembelajaran, pengajaran, dan pentaksiran di UiTM, Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik menjadualkan tiga (3) siri webinar tentang penggunaan Chat GPT di dalam pentaksiran pelajar seperti berikut:

1. “Mastering the Art of Question Design with ChatGPT” (1 Mac 2023)
2. “Advanced Techniques for Effective Question Design with ChatGPT” (3 Mac 2023)
3. “Creating Effective Assessments with ChatGPT: From Design to Grading” (6 Mac 2023)

Ketiga-tiga siri ini menampilkan Pengarah BPPA, Profesor Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad bagi membincangkan kaedah yang sesuai digunakan oleh warga dalam membangunkan pentaksiran menggunakan model kecerdasan buatan seperti Chat GPT.

Siri webinar pertama yang telah dijalankan pada 1 Mac 2023 melalui siaran langsung saluran YouTube BPPA membahaskan penggunaan Chat GPT dalam perancangan pentaksiran. Warga dipertontonkan bagaimana Chat GPT dapat membantu dalam pembinaan soalan ujian yang efektif mengikut hasil pembelajaran yang di inginkan.

Siri kedua yang bakal diadakan pada 3 Mac 2023 akan membicarakan tentang teknik-teknik yang lanjutan dalam membangunkan soalan ujian yang bersifat kompleks serta terbuka (open-ended) menggunakan model Chat GPT. Siri kedua ini menawarkan strategi dan panduan tentang bagaimana pensyarah boleh mengoptimalkan Chat GPT untuk membangunkan soalan ujian yang lebih kompleks mengikut konteks bidang masing-masing.

Siri yang ketiga dan terakhir akan membincangkan bagaimana Chat GPT dapat membantu warga akademik dalam membuat pentaksiran yang efektif, dari perancangan hingga ke proses penilaian pelajar. Siri terakhir ini memberikan panduan kepada pensyarah tentang kaedah mengintegrasikan Chat GPT ke dalam proses pentaksiran dan penilaian pelajar secara lebih efisien dan efektif.

Diharapkan warga UiTM memberikan sokongan yang berterusan dan kekal setia kepada saluran YouTube BPPA (https://www.youtube.com/@BPPAUiTM) dalam usaha mengeratkan lagi citra institusi madani ini dalam menghasilkan graduan yang berkualiti dan memenuhi keperluan industri dan masyarakat. Melalui saluran ini, pembangunan bahan pembelajaran yang berkualiti dan bermanfaat bagi komuniti akademik di dalam dan luar kampus dapat diteruskan.