Memperkasakan Mahasiswa UiTM Melalui Aktiviti Persatuan

17 Oktober 2022- Shah Alam, Aktiviti persatuan merupakan platform kepada mahasiswa dalam membantu ke arah pembentukan kemahiran sosial di samping memupuk kepimpinan dan kepakaran dalam penglibatan aktiviti di luar bidang akademik. Tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti persatuan mengalakkan mahasiswa untuk berfikiran terbuka dan meluaskan perspektif mereka untuk tidak hanya tertumpu di dalam bilik kuliah sahaja. Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan setelah tamat pengajian.

Bertepatan dengan misi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu melestarikan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara, maka penglibatan mahasiswa di luar bilik kuliah merupakan perkara yang penting melihat kepada keberkesanan dan impak positif dalam aktiviti persatuan kepada mahasiswa, iaitu untuk mencapai potensi mahasiswa yang berdaya saing, fleksibel, disiplin dan kebolehan menguruskan tugasan dengan baik di samping tidak menjadi halangan kepada penguasaan bidang akademik yang dipelajari oleh mahasiswa.

Hari Bertemu Pelanggan Persatuan/Kelab Pelajar UiTM Shah Alam merupakan inisiatif Pusat Kegiatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam dalam memastikan mahasiswa cakna akan aktiviti persatuan yang ditubuhkan dalam UiTM. Program ini berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2022 bertempat di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Terdapat pelbagai aktiviti menarik dan promosi yang disediakan oleh setiap booth aktiviti persatuan dan kelab pelajar seperti Rakan Alam Sekitar (RAS), Badan Peer Kaunselor, Persatuan Bahasa Jepun dan banyak lagi bagi menarik minat mahasiswa yang hadir.

Menurut Puan Noor Afzan Zakaria, Timbalan Pendaftar Pusat Kegiatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM, persiapan bagi program ini mengambil masa dua minggu dan sebanyak 32 booth pameran daripada semua persatuan dan kelab pelajar di sekitar UiTM Shah Alam berjaya dikumpulkan. Majlis perasmian penutupan program telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor HEP UiTM. Harapan beliau agar melalui program ini, mahasiswa UiTM dapat mencungkil dan mengasah bakat mereka dalam melahirkan mahasiswa yang berpotensi menjadi modal insan yang unggul.