MAKA Erat Hubungan Silaturahim Pengurusan Bersama Mahasiswa Kolej Anggerik

20 Oktober 2022 ,Shah Alam – Majlis Aspirasi Kolej Anggerik (MAKA) menjadi platform kepada Kolej Anggerik, UiTM Shah Alam dalam mengeratkan hubungan silaturrahim antara Pengurusan Kolej Anggerik bersama mahasiswa baru yang menetap di Kolej Anggerik. Tujuan utama majlis ini adalah untuk memperkenalkan barisan pengurusan kolej dan pemakluman sebarang bantuan kebajikan dan keselamatan yang disediakan oleh pihak kolej disamping mempromosikan Kolej Kediaman Anggerik sebagai kolej kediaman yang aktif dari segi penganjuran program dan aktiviti melibatkan akademik, intelektual, kemasyarakatan, kepimpinan dan pembangunan sahsiah pelajar.

MAKA telah dilaksanakan pada 19 Oktober 2022 bertempat di Foyer Kolej Anggerik, UiTM Shah Alam bermula dari 8:30 malam hingga 10:30 malam yang melibatkan seramai 453 residen Kolej Anggerik bagi mendengar taklimat dan amanat yang disampaikan oleh pengurusan kolej. Majlis ini memberi peluang kepada residen Kolej Anggerik, untuk mengenali barisan Pengurusan Kolej, Staf Residen Kolej dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Anggerik yang penting dalam menjaga kebajikan dan keselamatan residen sepanjang tempoh penginapan di Kolej Anggerik.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA. Menurut YBhg. Prof., beliau mengingatkan kepada mahasiswa yang hadir agar sentiasa bergiat aktif menyertai program-program yang dianjurkan di kolej bagi memupuk dan meningkatkan kemahiran sosial serta membantu HEP dan UiTM dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, rohani dan jasmani. Beliau juga berpesan kepada mahasiswa untuk menjadikan setiap cabaran dan halangan sepanjang tempoh pengajian sebagai peluang untuk kemajuan individu.

Seiring dengan fungsi utama HEP iaitu Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar dengan objektif strategiknya untuk melahirkan profesional berinovatif, berdaya keusahawan serta berpesonaliti unggul untuk memenuhi keperluan global di samping perkhidmatan dan kemudahan pelajar dengan objektif strategiknya untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti serta kemudahan yang kondusif. Oleh itu, aktiviti pembangunan pelajar perlu dititik beratkan dan diadakan dengan lebih banyak bagi merapatkan ukhwah di antara pelajar, pihak pengurusan Kolej Anggerik serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM. BHEP sentiasa menyokong di samping proaktif dalam menjaga kebajikan dan keselamatan serta pembangunan modal insan mahasiswa secara keseluruhan.