MELTECH Family Day (MFD) 2022

PUNCAK ALAM – Program MELTECH Family Day 2022 anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan selama 2 hari. Hari pertama MELTECH Family Day telah diadakan pada 10 November 2022 bertempat di Surau Ibnu Sina (SIS), manakala hari kedua iaitu pada 12 November 2022 pula bertempat di Padang Kawad & Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana, UiTM Kampus Puncak Alam. Seramai 151 orang warga Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan termasuk 48 orang Ahli Jawatankuasa, 4 alumni & 9 orang pensyarah telah terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini telah dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Puan Khairussulhi binti Jalil.

Program anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pelajar, pensyarah, kakitangan makmal serta alumni Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH). Hal ini sejajar dengan misi dan visi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang sihat dari segi fizikal dan mental juga seimbang dalam aspek akademik dan kokurikulum.

Hari pertama program disempurnakan dengan perjumpaan antara para pelajar dan Penasihat Akademik (PA) manakala hari kedua program pula merupakan majlis penutup dan disertakan beberapa acara sukan termasuk dodgeball, bola jaring, bola keranjang, badminton serta futsal. Aktiviti yang dianjurkan sekaligus dapat mencungkil bakat dan memupuk semangat kerjasama serta keyakinan para pelajar yang amat penting dalam memajukan sesebuah persatuan dan institusi.

Pengarah program, Muhammad Nabil Musaiyar Ahmad berkata, program seperti ini amat diperlukan kerana sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat perpaduan dan memupuk minda serta fizikal yang sihat dalam kalangan masyarakat. Program ini juga dapat memupuk nilai-nilai murni yang boleh diaplikasikan pada masa akan datang.

“Oleh itu, aktiviti sukan yang dijalankan sepanjang program MELTECH Family Day 2022 secara tidak langsung juga memainkan peranan penting dalam mengajar para peserta untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menyatukan peserta merentasi pelbagai semester,” katanya.

#FSKSynergy #FSKPower #FSKEverywhere