MELTECH Family and Sports Day 2020

Program MELTECH Family dan Sports Day yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) sesi 2019/2020 telah berlangsung di Dewan Serbaguna PFI, Padang Kawad dan Kompleks Kemudahan Pelajar Rafflesia (KKPR), UiTM Kampus Puncak Alam. Program ini telah disertai oleh seluruh warga Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan yang terdiri daripada 214 orang pelajar dan juga 11 pensyarah dan staff makmal.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk mengadakan aktiviti rekreasi dan sukaneka bersama Ketua Pusat Pengajian (KPP), para pensyarah dan staf makmal Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan. Program ini juga mampu mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pelajar jurusan Teknologi Makmal Perubatan, seterusnya menyediakan peluang untuk mengenal pasti pelajar yang berpotensi mewakili persatuan dalam program sukan fakulti akan datang. Antara aktiviti penganjuran program ini adalah perjumpaan bersama penasihat akademik, zumba, sukaneka, acara bola baling, bola keranjang, bola jaring, futsal, tarik tali dan badminton.

Aktiviti yang diadakan sepanjang program berlangsung telah memberi impak yang positif kepada semua pihak. Sesi perjumpaan bersama penasihat akademik telah memberi peluang kepada
pelajar untuk berkenalan dengan penasihat akademik masing-masing dan secara tidak langsung mendapatkan nasihat berkaitan hal-hal akademik. Selain itu, aktiviti kesukanan membolehkan pelajar menonjolkan bakat masing-masing dalam acara yang diadakan. Di samping itu, hubungan antara pelajar jurusan Teknologi Makmal Perubatan dapat dieratkan bukan sahaja antara pelajar yang mengambil bahagian, malah yang tidak terlibat juga turut hadir bagi memberikan sokongan.

Pengarah program, saudara Haiqal Hakimi Bin Mustafa berkata program ini telah mencapai objektifnya. Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk menjayakan program MELTECH Family dan Sports Day.