COVID-19: FKM UiTM Hasilkan Set Pelindung Muka

SHAH ALAM: Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) memanfaatkan kepakaran dengan menghasilkan set pelindung muka bagi bagi kegunaan kakitangan barisan hadapan yang merawat pesakit COVID-19.

Timbalan Dekan FKM (Penyelidikan dan Jaringan Industri) merangkap Ketua Projek, Profesor Madya Dr Muhammad Hussain Ismail, berkata projek itu digerakkan sekumpulan 25 individu yang terdiri daripada pensyarah, staf teknikal, staf pentadbiran, pelajar serta alumni.

“Idea menghasilkan alat pelindung muka ini tercetus pada 23 Mac susulan permintaan tinggi terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) khususnya di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

“Justeru, kami menggunakan kepakaran, reka bentuk serta peralatan yang kami ada untuk menghasilkan set pelindung muka berkenaan.

“Hingga kini kami sudah menyerahkan 26,446 set alat pelindung muka kepada lebih 200 hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pada awalnya, pihaknya menggunakan mesin percetakan tiga dimensi (3D) untuk menghasilkan alat pelindung muka bagaimanapun ia tidak dapat menghasilkan produk yang banyak selain mengambil masa hingga satu jam untuk menyiapkan satu bingkai alat pelindung muka.

FKM kemudian memanfaatkan sebuah mesin pengacuan suntikan yang berupaya menghasilkan kira-kira 1,500 hingga maksimum 2,000 alat pelindung muka sehari.

“Dari segi penyerahan, kita mengambil pendekatan menghantar alat pelindung muka itu berdasarkan permintaan dan kita akan membuat penghantaran sekerap tiga kali seminggu.

“Buat masa ini, kita menghantar 3,000 set alat pelindung muka pada setiap hari Isnin, Rabu serta Jumaat menggunakan khidmat syarikat penghantaran,” katanya.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/677794/covid-19-fkm-uitm-hasilkan-set-pelindung-muka?fbclid=IwAR03-kbyVogruMfjgIAnoBLpwDRl7w5bvkabKnmTG_R2BM5Ky6MwnWNkepQ