MAUIZAH: Memahami Hijrah

Shah Alam, 28 Julai 2023 – Program bacaan Yasin dan Mauizah telah berlangsung di Auditorium, Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Shah Alam bermula jam 8:30 pagi hingga 11 pagi. Program ini telah dihadiri oleh staf dan pensyarah APB.

Program Bacaan Yasin telah dipimpin oleh Dr. Bashasunnahar Puasa, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Arab, dan disambung dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Nurul Afidah Awang, yang merupakan Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Islam, UiTM Shah Alam dengan tajuk “Memahami Hijrah”.

Tajuk ceramah ini bersesuaian dengan peristiwa Awal Muharram yang disambut oleh umat Islam pada 19 Julai 2023. Pada tarikh tersebut, tahun Hijrah telah berpindah dari 1444 Hijrah ke 1445 Hijrah. Justeru, program ini bertujuan untuk mengingatkan umat Islam tentang kepentingan penghijrahan dan makna di sebalik peristiwa tersebut.

Program ini diadakan dengan harapan agar umat Islam dapat memahami serta menghayati makna sebenar hijrah. Di samping itu juga, umat Islam diharapkan memperoleh manfaat daripada perkongsian yang disampaikan oleh Ustazah Nurul Afidah Awang. Semoga program ini turut membawa keberkatan dan pengetahuan yang bermanfaat kepada semua yang hadir.