Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan 1444H/ 2023M

MACHANG, 17 April 2023 – Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak dan Nuzul Al-Quran, Program Pembudayaan Al-Quran di bawah Unit Hal Ehwal Islam telah Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan 1444H/ 2023M.

Justeru, Unit Hal Ehwal Islam telah menganjurkan majlis ini dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Infostruktur dan Unit Latihan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan yang diadakan pada 11 April 2023 di Pusat Islam secara bersemuka dan juga secara atas talian di saluran Youtube Rasmi UiTM Cawangan Kelantan.

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk membudayakan bacaan Al-Quran di kalangan warga UiTM Cawangan Kelantan. Secara keseluruhan, majlis yang diadakan berjalan dengan lancar. Program dimulai dengan alunan bacaan ayat Suci Al-Quran dari Qari (Dr. Wan Ahmad Tirmizi Wan Sulaiman) dari surah Al-Isra’ ayat 77-84.

Majlis diteruskan dengan ceramah sempena Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Che Bakar Che Mat yang bertajuk “Quran Penyelamat dan Syafaat di Akhirat”. Majlis Khatam Al-Quran dimulai dengan bacaan dari ketua Qari yang bermula dengan surah al- Fatihah dan ditutupi dengan bacaan doa khatam Al-Quran. Peserta Khatam Al-Quran pada tahun ini adalah seramai 21 orang.

Membudayakan pembacaan al-Quran amatlah dituntut di dalam bulan Ramadhan dan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Ini kerana, Ramadhan merupakan bulan diturunkan padanya al-Quran berdasarkan kepada firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

al-Baqarah: 185