Majlis Pra Graduasi #FBMAwesome Sesi Mac 2023 Mengungkap Kenangan Manis Para Pelajar Tahun Akhir Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP)

PUNCAK ALAM, 11 Julai 2023 – Majlis Pra Graduasi (MPG) #FBMAwesome Sesi Mac 2023 telah berlangsung pada 6 Julai 2023 yang lalu bagi meraikan para pelajar tahun akhir Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP). Berlangsung di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangr, Kampus Puncak Alam, majlis makan malam yang bertemakan “Bollywood Night Glam” ini dihadiri seramai 629 pelajar semester lima (5) dan semester enam (6) yang bakal menjalani latihan industri dan menuju ke alam pekerjaan.

Program yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP dilaksanakan bagi meraikan para pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelbagai aspek seperti akademik, kokurikulum, kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan dan lain-lain. Ini dapat menyuntik semangat yang lebih positif dalam diri para pelajar supaya mereka lebih bersedia untuk menjalani latihan industri dan melangkah ke alam pekerjaan kelak. Program ini turut medapat sumbangan dan kerjasama daripada pihak DiGi Telecommunications yang memberikan kad sim percuma kepada para pelajar. Di samping itu majlis ini juga mendapat sumbangan daripada Mizukicakes, Eco Grandeur, Puncak Alam serta pihak Tapaueat.

Majlis ini telah dimulakan dengan gimik sambutan ketibaan para tetamu kehormat. Ucapan alu-aluan telah diberikan oleh Ketua Projek Majlis Pra Graduasi (MPG) #FBMAwesome Sesi Mac 2023, saudara Noor Haikal Noor Hakimi yang juga selaku Presiden Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) FPP. Setelah itu, ucapan oleh Dekan FPP, Profesor Firdaus Abdullah dan seterusnya merasmikan program ini. Majlis diteruskan dengan jamuan makan malam dengan diselangi oleh pertunjukan nyanyian, tarian dan cabutan bertuah. Majlis ditutupi dengan penganugerahan “King and Queen of The Night”, anugerah Pensyarah Paling Sporting (lelaki dan perempuan) serta sesi bergambar.

Semoga dengan kemeriahan keraian ini dapat memberikan kenangan manis buat para mahasiswa tahun akhir, khususnya semester lima (5) dan semester enam (6) untuk dikenang selamanya.

Galeri Gambar: