1 April 2022 (Jumaat) | Majlis Perasmian Penutupan Projek Komuniti APPGM-SDG Parlimen Kota Belud telah disempurnakan oleh YB Puan Isnaraissah Munirah Binti Majilis, Ahli Parlimen Kota Belud, bertempat di tapak Tamu Luadi, Kota Belud.
UiTM Cawangan Sabah selaku pelaksana projek komuniti melalui Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIM&A) telah berjaya melaksanakan beberapa program komuniti termasuk menaiktaraf dan menyiapkan gerai tamu yang lebih kondusif serta menjalankan 6 siri latihan/kursus dalam komuniti berkaitan dengan pengurusan organisasi, keusahawanan dan pengurusan sisa pepejal.
Projek Komuniti ini telah dibiayai melalui Geran Komuniti daripada All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainability Development Goals (APPGM-SDG), sebuah pertubuhan dibawah seliaan Parlimen Malaysia. Pelaksanaan projek komuniti ini diketuai oleh Encik Suhailie bin Haji Bakrin, selaku Pengurus Pelaksana dan penerima geran komuniti APPGM-SDG, dengan kerjasama staf Bahagian PJIM&A, UiTM Cawangan Sabah.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Dr. Sharifah Nurafizah Syed Annuar (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Abdul Aziz Lai bin Mohd Fikri Lai (Koordinator ICAN) dan Encik Ahmad Ghazali Ismail (Koordinator MASMED).
Penyerahan sumbangan Ramadan oleh KOSISWA UiTM Cawangan Sabah yang diwakili oleh En. Ahmad Ghazali Ismail (Koordinator Keusahawanan) kepada komuniti usahawan di Tamu Luadi, Kota Belud yang diwakili oleh Tn. Kuyuh Bin Siman, Pengerusi JK Komuniti Tamu Luadi.
Semoga projek komuniti ini dapat membantu meningkatkan tahap ekonomi komuniti setempat khususnya di Tamu Luadi, Kota Belud.