Memorandum Persefahaman (MoU) Dimeterai Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dan Garden Village Design Sdn Bhd (GVDSB)

30 Mac 2022 – Satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Garden Village Design Sdn Bhd (GVDSB) telah termeterai bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak. Majlis yang dihadiri hampir 50 staf daripada UiTM dan GVDSB telah dijalankan secara tertutup di Hotel The Light, Seberang Jaya Pulau Pinang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

UiTM diwakili oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang disaksikan oleh YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Kay Dora Abd Ghani, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTMCPP manakala GVDSB pula diwakili oleh YBrs. En. Suhaimi Ghazali, Pengarah Urusan GVDSB sambil disaksikan oleh YBrs. En. Hafiz Md. Zaki, Pengurus Besar GVDSB. Turut hadir bersama memeriahkan majlis tandatangan ini adalah YBhg. Prof. Datuk Raduan Che Rose, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara dan juga YBhg. Prof. Dr. Shariman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan UiTM (mewakili Ybhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Janor, Naib Canselor UiTM).

MoU ini adalah inisiatif bersama dua pusat pengajian iaitu Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) dan juga Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE). FPHP diwakili oleh En. Abdul Rahman Ahmad Rozali, En. Khairul Hidayat Rezo, En. Joesri Mohamad Saber, Dr. Zulhan Othman dan En. Sperico Michael Alden manakala PKE pula diwakili oleh Ir. Dr. Nor Azlan Othman. Perbincangan asal MoU ini lebih menjurus ke arah eko-pelancongan, teknologi hijau dan juga “hospitality and services”.

GVDSB merupakan anak syarikat yang terletak di bawah pentadbiran syarikat utama iaitu Pearl House Design Sdn. Bhd. (PHDSB), pemaju perumahan yang terlibat dalam bidang industri pembangunan hartanah. Dalam meluaskan perniagaan berkonsepkan hospitality ini, GVDSB kini sedang melaksanakan projek pembangunan villa di Permatang Pauh Pulau Pinang, Baling Kedah dan Pulau Langkawi Kedah. Ketiga-tiga villa ini dibuat khas agar ianya dapat dihubungkaitkan dalam menyediakan servis pelancongan berkonsepkan eko-pelancongan yang mana terdapat pakej untuk pelancong bercuti ke semua destinasi tersebut bermula di Pulau Pinang dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah. Ketiga-tiga pembangunan ini akan dibangunkan menggunakan konsep Green Building Index (GBI) selaras dengan pengekalan alam semulajadi apabila ianya beroperasi kelak.

Dengan termeterainya MoU ini, ianya dapat memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam mengadakan program usahasama merangkumi pelbagai bidang yang hasilnya akan memberi manfaat kepada semua pihak termasuk masyarakat setempat khususnya. Kerjasama strategik ini bukan hanya tertakluk kepada aktiviti akademik (perkongsian ilmu, konsultansi, penyelidikan), ianya termasuk juga dengan aktiviti kemasyarakatan dan program kesukarelawanan.

Melalui perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan daripada pelbagai bidang, ianya diharap dapat menghasilkan beberapa idea kreatif dan inovatif yang akhirnya memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan juga masyarakat setempat. Hubungan yang terjalin melalui MoU ini akan memberi impak yang tinggi kepada kedua-dua pihak khususnya kepada GVDSB dalam usaha untuk merancakkan lagi ekonomi negara melalui perkembangan eko-pelancongan, teknologi hijau dan seumpamanya.