Majlis Perasmian dan Penutup ‘College Games’ UiTM Cawangan Kelantan 2023

MACHANG, 10 Januari – Unit Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Program ‘College Games’ UiTM Cawangan Kelantan 2023 bermula pada 5 hingga 8 Januari 2023. Program ‘College Games’ merupakan satu medium bagi menggalakan mahasiswa aktif dalam aktiviti fizikal. Dengan objektif utama untuk mencungkil bakat baru dalam acara sukan yang diadakan, College Games 2023 juga dilihat mampu menyumbang dalam pembangunan ‘soft skill’ dalam diri mahasiswa melalui pengurusan acara, pengurusan kontinjen dan pengurusan pasukan masing-masing. College Games 2023 akan melibatkan pertandingan antara pasukan yang mewakili kolej dan Non Residen serta pasukan staf melalui PSKK sebagai pasukan jemputan.

Merupakan Kayu ukur atau Key Performance Index (KPI) utama bagi pencapaian sukan kampus UiTM adalah semasa Karnival Sukan Mahasiswa UiTM (KARiSMA) yang diadakan setiap tahun. KARiSMA merupakan medan utama atlet dari kampus seluruh sistem UiTM beraksi dengan mewakili kontinjen UiTM Negeri masing-masing. Berlandaskan itu, Unit Sukan UiTM Cawangan Kelantan akan menganjurkan College Games 2023 UiTMCK dengan tema ‘Sports Unite People’ sebagai satu usaha merancakkan lagi program penggalakan sukan kampus di samping menjadi usaha bersama dalam membangunkan ‘soft skills’ mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan.

“Sports Unite People” adalah satu slogan yang sering diungkap dalam bidang sukan. Melalui sukan kita dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Kejohanan ini juga akan meningkatkan imej universiti melalui pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan dan merupakan salah satu peranan penting Unit Sukan. Kejayaan tidak akan datang bergolek jika tiada usaha. Ianya memerlukan perancangan yang teliti dan gerak kerja yang begitu jitu dari semua pihak yang terlibat.

Program ini juga akan menjadi medan pemilihan pemain untuk KARiSMA yang akan datang. Persiapan awal ini sebagai satu usaha berterusan dalam menjayakan impian kita bersama untuk berada seiring dengan kampus lain dalam pencapaian sukan. Program yang diadakan di kawasan dalam kampus, menggunakan semua fasiliti sukan yang disediakan oleh Unit Sukan, mendapat sambutan daripada mahasiswa dengan penyertaan lebih daripada 1,000 orang mahasiswa. Sebanyak 14 acara sukan yang dipertandingkan, berserta pebarisan dengan tema ‘Super Hero’ sebagai penutup acara bagi memberi semangat berpasukan kepada semua kontinjen yang terlibat dan memeriahkan majlis.