UiTM Cawangan Perak, Kampus UiTM Pertama Melancarkan Projek E-Skuter Untuk Inisiatif Kampus Hijau Dan Rendah Karbon

UiTM Cawangan Perak menjadi kampus pertama di dalam sistem UiTM yang melancarkan projek pengangkutan hijau mikro yang dikenali sebagai e-skuter di dalam usaha mencapai kampus rendah karbon di Malaysia. Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak bersama rakan strategik iaitu Urbanice Malaysia dan BEAM Malaysia telah melancarkan projek e-skuter ini melalui program “Micro-Mobility @ Campus” pada 2 Disember 2022 yang lalu yang melibatkan seluruh warga kampus, termasuklah staf-staf dan para pelajar.

UiTM Cawangan Perak telah memulakan perancangan bagi pembangunan projek penggunaan e-skuter ini sejak 2020 lagi, di mana program ini merupakan sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara UiTM Cawangan Perak dan Urbanice Malaysia. Program ini juga turut melibatkan rakan-rakan strategik lain, seperti Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Persatuan Teknologi Hijau Malaysia, Green Safe Cities (Gresafe), Kelab Kampus Lestari, HEP UiTM Cawangan Perak, dan UiTM Green Centre (UGC). Inisiatif ini membantu menggerakkan secara aktif konsep “Gaya Hidup Hijau”, “Pengangkutan Hijau” dan “Inisiatif Rendah Karbon” dengan mengurangkan bilangan kenderaan berkarbon yang digunakan di dalam kampus. Ini sekali gus mengurangkan pelepasan karbon, pencemaran alam sekitar serta meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap amalan pengangkutan hijau. Projek ini juga turut menyokong matlamat “Sustainable Development Goals” (SDG) Yang ke-11, iaitu Bandar dan Komuniti Lestari.

Majlis telah dilancarkan oleh Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, bersama Ketua Jawatankuasa Kampus Hijau, Profesor Madya Sr Dr Nur Azfahani Ahmad, Pengarah Projek, Gs. Norhazlan Haron dan semua wakil rakan strategik. Menurut Profesor Madya Sr Dr Nur Azfahani, 100 e-skuter telah disediakan di 13 stesen di dalam kampus UiTM Perak, dengan mensasarkan kolej-kolej kediaman yang terletak jauh dari bangunan-bangunan fakulti. Ini bagi memudahkan pengguna bergerak dengan mudah di dalam kampus. Menurut Gs. Norhazlan Haron pula, pengguna boleh menggunakannya dengan mengimbas kod QR pada e-skuter melalui aplikasi BEAM. Buat masa ini, penggunaan aktif pelajar-pelajar UiTM Cawangan Perak telah mencapai sehingga 450 penggunaan sehari yang direkodkan di antara tertinggi di Malaysia. Adalah diharap agar projek ini akan mencetuskan pergerakan kejiranan rendah karbon dan memupuk gaya hidup hijau, sihat dan berkualiti di kalangan pengguna kampus dan masyarakat di sekitarnya.