KOTA SAMARAHAN: Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah turun padang menghulurkan bantuan sempena bulan Ramadhan 1442 Hijrah. Majlis penyerahan Sumbangan Program Kasih Ramadhan telah diadakan pada 7 Mei 2021 (Jumaat) di 3 lokasi yang berbeza. Majlis Ringkas penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali di ketiga-tiga lokasi. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Sarawak, En. Nor Amirudin b Mokhtarudin serta Koordinator Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Cawangan Sarawak, Ustaz Wan Ariffin Wan Yon. 3 lokasi yang terlibat adalah SK Agama Ibnu Khaldun (menggunakan inisiatif pandu lalu), Surau Al Hidayah, Kampung Plaie serta Masjid Al-Qurawiyyin, UiTM Kampus Samarahan.
Turut serta dalam program penyerahan sumbangan ini di SK Agama Ibnu Khaldun adalah Guru besar, Tuan Hj Amir bin Haji Ahmad Dewan serta semua penolong kanan yang lain manakala di Surau Al Hidayah, turut serta ialah Pengerusi Surau iaitu Encik Johari Abdullah. Sumbangan yang diberikan oleh pihak UiTM Cawangan Sarawak adalah keperluan asas seperti beras, tepung dan gula.
Seramai 78 orang telah mendapat manfaat daripada bantuan yang dihulurkan melibatkan 30 orang dari SK Agama Ibnu Khaldun, 38 orang dari Surau Al Hidayah, Kampung Plaie dan 10 orang dari Masjid Al-Qurawiyyin, UiTM Kampus Samarahan. Antara lain tujuan program ini diadakan dapat membantu mengurangkan serba sedikit beban golongan yang memerlukan terutama sekali pada bulan yang berkat ini.