Webinar: Infiru Towards Istiqomah 2021

Puncak Alam – Program Webinar Infiru Towards Istiqomah telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2021, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk membantu pelajar bijak membahagi tanggungjawab sebagai seorang muslim dan seorang pelajar di bulan ramadan. Disamping itu juga, program ini bermatlamat untuk membimbing pelajar menguruskan masa dengan melakukan amalan yang baik sepanjang bulan ramadan dan bulan seterusnya.

Program ini telah berlangsung pada 29 April 2021 menggunakan platform atas talian Webex yang berdurasi selama 2 jam dari 2.30 petang hingga 4.30 petang. Program ini dihadiri oleh peserta seramai 181 peserta termasuk penyertaan pelajar dari persatuan-persatuan dibawah kelolaan Fakulti Sains Kesihatan termasuk penasihat MISA, para pensyarah dan staf UiTM Kampus Puncak Alam. Kehadiran Encik Muhamad Azlan Bin Md Aris sebagai penceramah jemputan, menjadi akar tunjang kepada kejayaan kelangsungan program. Encik Muhamad Azlan Bin Md Aris atau lebih dikenali sebagai Ustaz Azlan, merupakan pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam UCS.

Terdapat pelbagai glosari maklumat dan ilmu yang disampaikan dengan penuh hikmah oleh penceramah jemputan, Ustaz Azlan. Sesi perkongsian ilmu ini berteraskan konsep Infiru yang bermaksud berangkatlah dari jahiliah sebagaimana yang tertera pada tajuk program yang telah dipilih oleh pengarah program, saudari Nurathirah Aidil Nafisa Binti Mohd Fairos. Konsep Infiru dan Istiqomah menjadi idea yang dominan dalam konteks pengisian ceramah. Cara penyampaian yang bersahaja dan santai menyebabkan setiap bait kata-kata dan ilmu pengetahuan yang dikongsi oleh penceramah menjadi lebih bermakna dan mudah difahami sekaligus dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Antara isi ceramah yang disampaikan adalah tips bagi mengekalkan momentum dalam meningkatkan ibadah dalam bulan ramadan dan bulan-bulan seterusnya. Penceramah juga mengingatkan para peserta ketika dalam sesi ceramahnya, bahawa bulan ramadan ini bukanlah bulan pesta amalan,sebaliknya ramadan ialah bulan tarbiah bagi semua muslim untuk menjadi muslim terbaik pada bulan-bulan seterusnya dan tidak hanya tertumpu pada bulan ramadan. Maka tidak hairanlah, keberkesanan program dapat dicapai kerana program ini disulami dengan intipati ceramah yang sangat padat dan bermanfaat.

Program webinar Infiru Towards Istiqomah meninggalkan kesan yang sangat signifikan kepada pelajar kerana maklumbalas yang dikumpulkan melalui borang Google Form di akhir program menunjukkan kesan yang sangat positif dan memberangsangkan. Segala ilmu pengetahuan dan tips yang dikongsikan dapat mendorong para peserta untuk membentuk keperibadian yang mulia kerana amalan-amalan baik bakal dipraktikkan seusai program tamat. Diharapkan agar semua peserta sentiasa konsisten dalam melakukan amalan baik, berhijrah menjadi muslim yang unggul bukan sahaja dari segi rohaninya, namun terbaik dari segala aspek termasuklah jasmani, mental dan emosi.