‘APB Prihatin Anak Bangsa Terpimpin’- UiTM Cawangan Pulau Pinang

Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang dikenali sebagai Projek Perpustakaan Mini dan Penyampaian Ilmu yang membawa tema ‘APB Prihatin, Anak Bangsa Terpimpin’ telah berjaya dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (APB UiTMCPP) pada 9 April 2021 di Madrasah Maahad Tahfiz Quran Jabal Nur, Semeling, Bedong, Kedah.

Program USR ini bermula secara rasmi pada 1 Mac 2021 dengan kunjungan hormat oleh Pengarah Program iaitu Puan Melati Desa, Timbalan Pengarah Program iaitu Puan Noor Laili Mohd Yusof dan diiringi oleh ahli-ahli jawatankuasa utama iaitu Cik Marni Jamil dan Encik Noor Azli Effendy Lee ke Madrasah Maahad Tahfiz Quran Jabal Nur bagi membincangkan agenda program USR bersama dengan Tuan Haji Md Tahir Saad yang merupakan pengurus madrasah dan juga Ustazah Zarina Masri yang bertanggungjawab sebagai mudirah di madrasah tersebut.

Seramai 18 pensyarah dari APB UiTMCPP terlibat secara langsung sebagai ahli jawatankuasa bagi jawatankuasa teknikal dan logistik, jawatankuasa promosi dan publisiti serta jawatankuasa pokok dan makanan yang masing-masing diketuai oleh Encik Noor Azli Effendy Lee, Cik Seng Hui Zanne dan Puan Emily Jothee Mathai.

Dalam usaha menghijaukan kawasan madrasah, beberapa jenis pokok seperti pokok durian, pokok nangka, pokok mangga, pokok ciku, pokok jambu, pokok kurma dan pokok mata kucing telah disumbangkan kepada pihak madrasah untuk ditanam. Dr. Rofiza Aboo Bakar yang merupakan Ketua Pusat Pengajian APB UiTMCPP memulakan upacara dengan menanam pokok durian Musang King sebagai simbolik perasmian upacara penanaman pokok di madrasah. Selain itu, Pengarah Program, Timbalan Pengarah Program dan wakil dari Hasani Books turut sama memeriahkan ucapacara dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan madrasah.

Upacara kemuncak bagi program USR pada hari tersebut ialah upacara perasmian perpustakaan mini yang menempatkan koleksi bahan bacaan berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu serta buku-buku akademik yang disumbangkan oleh orang ramai. Sebanyak 17 peserta dari APB UiTMCPP turut hadir bagi memeriahkan ucapara tersebut dengan menyusun bahan bacaan mengikut spesifikasi di rak buku.

Slot pemindahan pengetahuan turut berlangsung selama sejam di surau di mana 5 orang pelajar dari Kelab Bahasa Inggeris dan Kelab Bahasa Jepun UiTMCPP terlibat sebagai fasilitator. Semasa sesi tersebut, sejumlah 37 pelajar madrasah diajar tentang sebutan, suku kata, makna dan konteks yang tepat bagi papan tanda Bahasa Inggeris yang terdapat di sekitar madrasah.

Program USR yang berbentuk humanistik ini telah berjaya direalisasikan di peringkat komuniti dengan terjalinnya hubungan kemasyarakatan antara pihak universiti dan madrasah, sejajar dengan visi, misi dan falsafah universiti.