PERAK TENGAH, 3 November 2023 – Kursus Bengkel Asas Penghasilan Cenderahati Seramik yang bermula pada 25 September dan berakhir pada 6 Oktober telah mencapai kemuncaknya dengan pameran produk hasil yang mengagumkan. Kursus ini diketuai oleh Encik Mohd Saleh Abdul Wahab, Pengarah Projek, dan melibatkan 20 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari sekolah-sekolah di Daerah Perak Tengah, Perak.
Pameran ini telah diadakan di Galeri Al Biruni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Acara ini berjaya dirasmikan oleh Cik Aini Syafiqah binti Nazri, Pegawai Lapangan Inisiatif Pendapatan Rakyat Daerah Perak Tengah yang mewakili Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Encik Zul Iskandar, Pengurus Projek Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Profesor Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Perak, Encik Mohd Saleh Abdul Wahab, Pengarah Projek Kursus Bengkel Asas Cenderahati Seramik, dan Haji Ahmad Daud bin Zainuddin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Perancangan).
Kursus selama 8 hari ini telah dikelolakan oleh pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Perak, yang telah memberikan pengetahuan teori dan latihan praktikal berkenaan seramik dan penghasilan cenderahati seramik kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). Hasil kerja mereka yang kreatif kini dapat disaksikan oleh masyarakat umum dalam pameran ini.
Encik Mohd Saleh Abdul Wahab, selaku pengarah projek berkata “saya sangat bangga dengan pencapaian para pelajar yang telah menghadiri kursus ini. Mereka telah menunjukkan bakat dan kemahiran yang luar biasa dalam menghasilkan cenderahati seramik yang menarik. saya berharap pameran ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus maju jaya dalam bidang ini.”
Pameran ini adalah bukti yang jelas bahawa penganjuran kursus seperti ini kepada murid berkeperluan pendidikan khas mampu mengcungkil bakat yang berpotensi besar. Para pengunjung pameran dapat melihat sendiri hasil usaha dan kreativiti para pelajar dalam mencipta karya seni yang menarik. Pameran produk terhasil dari Kursus Bengkel Asas Penghasilan Cenderahati Seramik ini telah berjaya mencuri tumpuan pengunjung.Para pelajar juga dilihat cukup gembira dan banggan dengan hasil kerja sepanjang 8 hari kursus diadakan.
Pihak UiTM berharap kerjasama yang terjalin dengan PASAK melalui kursus ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kepentingan masyarakat Perak, khususnya golongan yang kurang diberi perhatian.