Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Secara Maya Antara UiTM Dengan Melaka Butterfly and Reptile Sanctuary (MBRS)

23 September 2021 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang bersama Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan UiTM Pahang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya dengan Melaka Butterfly and Reptile Sanctuary (MBRS). MBRS ialah sebuah taman zoologi swasta yang memfokuskan Rama-rama dan haiwan Reptilia. Ianya ditubuhkan untuk memelihara dan memulihara spesies-spesies serangga termasuklah rama-rama dan haiwan reptilia yang semakin diabaikan oleh masyarakat. Usaha-usaha konservasi bagi serangga dan rama-rama serta haiwan reptilia sedang giat dijalankan oleh MBRS selari dengan moto TRRM iaitu “Penerokaan Yang Tidak Terhingga”.

Majlis memorandum ini telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan yang menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang dan YBrs. Puan Qurratu A’in Rohaminordin yang merupakan Pengarah Urusan MBRS. Majlis juga dihadiri oleh Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Pahang, Ketua Pusat Pengajian Sains Dr. Hj. Muzamil bin Hj. Mustaffa, Koordinator Kursus Biodiversiti Ts. Dr. Hjh. Nurun Nadhirah binti Md Isa, Penyelaras ICAN UiTM Cawangan Melaka En. Soo Yew Phong, Pengarah Program Puan Roziana binti Bujang, Ahli-ahlijawatankuasa program, Pensyarah Pusat Pengajian Sains, dan staf MBRS.

Objektif MoU ini adalah untuk menggalakkan kerjasama di dalam bidang akademik dan penyelidikan. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti seperti berikut :
1. Program pemindahan ilmu bagi menggalakkan pemindahan ilmu yang telah dijana di UiTM kepada sasaran komuniti dan industri untuk tujuan memperluaskan dan memperkukuhkan ilmu masyarakat awam melalui program khidmat masyarakat (CSR).
2. Mengadakan bentuk interaksi seperti kajian bersama dalam pelbagai bidang dan lawatan akademik.
3. Penerimaan pelajar untuk melaksanakan latihan industri dalam tempoh tertentu.
4. Kerjasama di dalam apa bidang lain seperti mana yang dipersetujui oleh pihak-pihak dari semasa ke semasa.

Dengan termetrinya MoU dan kerjasama antara UiTM dan MBRS ini diharap dapat mendatangkan impak yang besar di dalam bidang akademik dan penyelidikan dan secara tidak langsung dapat membangkitkan kesedaran terhadap kepentingan memulihara haiwan dan alam sekitar dikalangan masyarakat.