Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA dengan Pentagon Math Sdn Bhd (Al-Baghdadi) dan Perjanjian Tanpa Pendedahan dengan anak syarikat FGV Holdings Berhad

SHAH ALAM, 9 JUN 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pentagon Math Sdn Bhd (Al-Baghdadi) dan Perjanjian Tanpa Pendedahan dengan FGV Holdings Berhad (FGV). UiTM diwakilkan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM manakala Pentagon Math Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Encik Muhammad Farhan Haji Alias C.A.(M). FGV diwakili oleh Encik Zul Hasymi Saadul Kurzi (Ketua Pegawai Eksekutif, FGV Agri Services Sdn Bhd), dan Encik Noor Hisham Hamid (Ketua Pegawai Eksekutif, FGV R&D Sdn Bhd).

Bagi meraikan pencapaian tersebut, satu majlis pertukaran MoU dan Perjanjian Tanpa Pendedahan antara UiTM dengan Pentagon Math dan FGV telah diadakan pada 9 Jun 2023 di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor PJI, UiTM Cawangan Pahang telah mewakili Naib Canselor UiTM pada majlis tersebut.

Majlis ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan UiTM iaitu Prof. Dr. Haslinda Yusoff (Dekan Fakulti Perakaunan), Prof. Dr. Nor Azura Md Ghani @ Mamat (Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan). Wakil daripada Pentagon Math Sdn Bhd pula diiringi oleh Encik Addie Humaizie Abu Hassan (Ketua Pegawai Eksekutif), Encik Sulaiman Syah Ab Rahman (Duta Pentagon Math), dan Encik Mohd Syafeeq Mohd Radzif (Pengurus Projek). Wakil FGV pula diiringi oleh Encik Romzi Ishak (Ketua Divisyen R&D), Dr Lee Yang Ping (Ketua Jabatan Pertanian Jitu & Genomik, serta beberapa staf FGV Holding Berhad yang berpusat di Wisma FGV, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan di Pusat penyelidikan Pertanian Tun Razak, Tekam, Jerantut, Pahang.

Kerjasama bersama Pentagon Math Sdn Bhd (Al-Baghdadi) telah diusahakan oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang (FPN). Pentagon Math Sdn Bhd merupakan anak syarikat Kumpulan Al-Baghdadi yang berkecimpung dalam menghasilkan program inovatif yang berkaitan dengan pendidikan Matematik berteraskan Al-Quran. Sehubungan dengan itu, MoU ini ditandatangani dengan tujuan untuk berkolaborasi dan bekerjasama melalui program pemasaran yang dilaksanakan oleh Pentagon Math bagi memperkenalkan produk-produk inovasi yang dihasilkan oleh pihak UiTM. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan pemindahan ilmu oleh pihak UiTM kepada sasaran komuniti dan industri bagi tujuan memperluas dan memperkukuhkan penguasaan ilmu dalam kalangan masyarakat awam. Selain daripada itu, kerjasama yang terjalin dapat mewujudkan satu platform untuk melahirkan pakar dalam bidang al-Qur’an, matematik dan perakaunan. Ia juga secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada staf UiTM umumnya dan staf UiTM Cawangan Pahang khasnya untuk meningkatkan jaringan penyelidikan, penulisan, inovasi dan konsultansi secara langsung dengan pihak industri.

Kolaborasi bersama FGV pula berlangsung atas usaha bahagian PJI UiTM Cawangan Pahang dengan anak syarikat FGV Holdings Berhad iaitu FGV Agri Services Sdn Bhd, FGV Agri & Research Sdn Bhd, dan FGV Fertiliser Sdn Bhd yang menjurus kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi industri penanaman kelapa sawit dan pengeluaran baja. Dengan perjanjian ini, kedua-dua pihak akan mendapat manfaatnya. Antara manfaat yang diperolehi adalah peluang menjalankan penyelidikan dan penulisan, penghasilan buku, mewujudkan COE, penghasilan modul, kerjasama mengadakan seminar dan penganjuran program atau latihan bertemakan Environment, Social & Governance (ESG).

Semoga kerjasama yang terjalin di antara UiTM, Pentagon Maths dan anak syarikat FGV akan memberi impak kepada bidang pendidikan negara khususnya dalam aspek inovasi dan penyelidikan. Bukan setakat itu sahaja, diharapkan hasil daripada inovasi seterusnya mampu melahirkan modal insan yang inovatif, kreatif dan berdaya saing serta selari dengan keperluan industri. Manakala hasil daripada penyelidikan pula diharapkan mampu membantu dalam perkembangan ekonomi negara khususnya dalam bidang pertanian.