Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UiTM Dengan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn. Bhd (KLPK)

10 November 2021 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn. Bhd (KLPK). KLPK ialah cabang perladangan dan perniagaan tani yang menyediakan perkhidmatan pengurusan ladang, penanaman getah dan kelapa sawit, memproses getah asli kepada Getah Standard Malaysia (SMR), membekalkan tenaga kerja, kemahiran dan pengetahuan untuk operasi, penyelenggaraan dan kerja-kerja penyelenggaraan ladang, pemasaran tandan buah segar (FFB), bekalan lembu, kerbau untuk perniagaan ternakan, perkhidmatan kuarantin untuk ternakan, serta menghasilkan dan membekalkan makanan untuk ternakan. KLPK komited sepenuhnya dalam menyampaikan pengurusan perladangan yang bertaraf tinggi dan KLPK juga berusaha untuk kecemerlangan serta menawarkan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan industri.

Majlis memorandum ini telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan yang menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang dan YBrs. Encik Encik Azizi bin Haji Ahmad yang merupakan Pengarah Urusan KLPK. Majlis juga dihadiri oleh Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Pahang, Pensyarah Agroteknologi, Pensyarah Pusat Pengajian Sains, dan staf KLPK.

Objektif MoU ini adalah untuk menggalakkan kerjasama di dalam bidang akademik dan penyelidikan. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti seperti berikut:

1. Memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri yang mengkhususkan aspek pemindahan ilmu yang telah dijana di UiTM kepada sasaran komuniti dan industri melalui program seperti University Social Responsibility (USR)
2. Mengadakan kajian penyelidikan bersama dan juga lawatan akademik,
3. Penerimaan pelajar bagi program latihan industri pelajar dalam tempoh tertentu.
4. Kerjasama dalam pelbagai bidang yang lain seperti mana yang dipersetujui oleh kedua pihak dari semasa ke semasa.
5. Melahirkan graduan yang menepati kehendak pasaran kerja (employability).

Dengan termeterainya MoU dan kerjasama antara UiTM dan KLPK ini diharap dapat mendatangkan impak yang besar di dalam bidang akademik dan penyelidikan dan secara tidak langsung dapat membesarkan lagi jaringan antara UiTM, KLPK dan kerjasama Univesiti luar bagi bersama-sama mengembangkan dan meningkatkan pengetahuan di dalam industri tersebut.

Pihak UiTM juga, membawa wakil-wakil KLPK ke Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR), FTJ Bio Power Sdn. Bhd dan ke ladang UiTM Cawangan Pahang. Pihak KLPK juga berminat untuk menjalankan kajian berkenaan buluh Betong yang mana mereka membeli benih tersebut di PPPTR dan mereka akan mengkaji tumbesaran buluh tersebut di tempat mereka. FTJ Bio Power merupakan syarikat bersama FGV dan TNBES, disana deligasi didedahkan dengan penghasilan elektrik memggunakan tandan buah kosong (EFB) sebagai bahan bakar dan penjualan hasil minyak daripada EFB bagi menjana pendapatan syarikat. Di UiTM Pahang pula, kawasan tanaman nenas MD2, kawasan madu kelulut serta tanaman pokok Eucalyptus juga turut dilawati.

Melalui pendekatan ini jelas menunjukkan komitmen UiTM dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan rakan industri agar dapat mencapai matlamat universiti dan rakan strategik secara menyeluruh sekaligus mengeratkan hubungan diantara ahli akademik dan pentadbiran KLPK khususnya. Selain dari itu, UiTM akan turut memperoleh pelbagai manfaat dari kerjasama ini dan menghasilkan pelbagai projek berimpak tinggi serta memberi manfaat besar kepada industri dan komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang berasaskan Teras SDG 4: Pendidikan Berkualiti.