Majlis Menandatangani Memorandum Antara UiTM Cawangan Melaka Dan Universiti Melaka (UNIMEL)

MELAKA, 16 November 2022 – UiTM Cawangan Melaka dan Universiti Melaka (UNIMEL) hari ini telah menjayakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menzahirkan kolaborasi yang terjalin antara kedua-dua institusi ini.

Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, UiTM Cawangan Melaka (Kampus Alor Gajah) ini merupakan kesinambungan hubungan baik antara kedua-dua institusi selepas beberapa siri lawatan dan perbincangan akademik, terutamanya melibatkan program pengajian siswazah yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Sesi menandatangani MoU kali ini bagi pihak UiTM telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi bin Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka dengan disaksikan oleh YBhg. Dr Nur Hayati binti Abdul Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri. Bagi pihak UNIMEL pula, sesi ini telah dijayakan oleh YBhg. Prof. Dr. Abdul Razak bin Ibrahim, Naib Canselor UNIMEL dengan disaksikan oleh Ts. Dr. Yuseni bin Ab Wahab, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan Korporat.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN, Ketua Pusat Pengajian serta pengurusan tertinggi Pusat Pengajian Siswazah, selaku penganjur utama bagi Majlis MoU kali ini.

Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui oleh kedua-dua universiti menerusi perbincangan ini adalah perkongsian kepakaran, kolaborasi penerbitan dan penyelidikan, serta khidmat penyeliaan antara kedua-dua pihak, terutamanya bagi pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Kerjasama ini dijangka dapat menyokong pembangunan pakar bidang antara kedua-dua belah pihak dalam memenuhi keperluan semasa dan mendatang dengan menerima pakai penemuan-penemuan baharu yang terhasil dalam bidang kepakaran akademik masing-masing.

Semoga usaha ini dapat mengukuhkan lagi jaringan akademik antara UiTM, khususnya UiTM Cawangan Melaka dan Universiti Melaka dalam merintis dan merealisasikan pembangunan Melaka sebagai hub pendidikan bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.