(KOTA SAMARAHAN): Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) kali kedua secara atas talian melalui platform ZOOM di bawah anjuran Pusat Pengembangan dan Penyelidikan Islam Borneo (PPIB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah diadakan dengan jayanya pada 11 Mac 2021 hari Rabu jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Seminar Utama, Kampus Samarahan 2, UiTM Cawangan Sarawak. Konferensi ini diadakan dengan bertemakan “Perubatan dan Rawatan Islam dalam Mendepani Pandemik COVID – 19”. Majlis ringkas perasmian konferensi ini telah disempurnakan oleh Profesor Dato Dr. Jamil Haji Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak.
KAIB Online Siri 2 telah disertai 10 Institusi Pendidikan Tinggi di seluruh kepulauan Borneo iaitu UiTM Sarawak, UiTM Sabah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Brunei, Universiti Sultan Sharif Ali Brunei, Universitas Lambung Mangkurat Banjarmasin Indonesia, Universitas Mulawarman Samarinda Indonesia, Institut Agama Islam Negeri Samarinda Indonesia, Institut Agama Islam Negeri Pontianak Indonesia, Universiti Islam Negeri Antasari Banjarmasin Indonesia dan Institut Agama Islam Negeri Palangka Raya Indonesia.
Konferensi kali ini menampilkan enam ucaptama yang terdiri daripada tokoh akademik dan penyelidik dalam bidang perubatan dan rawatan Islam dari dalam dan luar negara. Mereka terdiri dari negara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, China and Pakistan. Profesor Dr. Irwan bin Mohd Subri dari Universiti Islam Sains Malaysia), Dr. Swandari Paramita (Universitas Mulawarman Samarinda, Indonesia), Profesor Dr. Tang Lilong (Ningxia Medical University, China), Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar (Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei), Dr. Mohd Afifuddin bin Mohamad (Universiti Sains Malaysia, Malaysia), Yang Terhormat Mufti Naeem Shahid (Islamic Institute of Halal Sciences Jamia-tur Rasheed, Karachi, Pakistan).
Tujuan majlis secara atas talian ini dianjurkan untuk mempromosikan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) Online Siri 3 yang akan dianjurkan pada bulan April untuk kali ketiga di Sarawak. Semoga dengan adanya KAIB Online ini, mampu menarik minat lebih ramai peserta untuk menyertai KAIB Online Siri 3 pada masa akan datang.