Majlis Kemuncak Bulan Inovasi dan Kualiti UiTM 2023

SHAH ALAM, 20 DISEMBER 2023 – Majlis Kemuncak Bulan Inovasi dan Kualiti UiTM diadakan pada setiap tahun dengan tujuan meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan inovasi dan kreativiti dalam pelaksanaan kerja, pembudayaan ciri-ciri inovatif dan kreatif dalam perkhidmatan, mempelbagaikan dimensi kreativiti dan inovasi dalam prosedur kerja serta meningkatkan kecekapan ke arah peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Justeru, pihak universiti berbesar hati memberi pengiktirafan dan anugerah kepada PTJ dan staf UiTM yang telah menunjukkan kecemerlangan pembudayaan kualiti secara holistik melalui pertandingan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC), Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Anugerah Kecemerlangan Operasi (OE). Pada tahun ini, Institut Kualiti dan Pengembangan limu (InQKA) telah dipilih sebagai penganjur. Anugerah lain seperti Global Prominence Award (GPA), Anugerah Pentadbir UiTM (APU) dan Anugerah Khas Pentadbir Persatuan Pentadbir UiTM (PPUiTM) juga akan disampaikan pada Majlis Kemuncak Bulan Inovasi dan Kualiti UiTM.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM. Majlis juga dihadiri oleh Pengurusan Eksekutif Universiti. Sebanyak 83 anugerah telah disampaikan kepada pemenang bagi seluruh kategori. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.