Majlis Jom Kacau Bubur Asyura UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 29 Ogos 2023– Unit Hal Ehwal Islam, bersama Pengurusan UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan program “Majlis Jom Kacau Bubur Asyura” bersama-sama staf UiTMCK pada 27 Ogos 2023. Setiap tahun umat Islam akan menyambut Hari Asyura iaitu hari yang ke-10 pada bulan Muharam. Bulan Muharam bukan sahaja bulan pertama dalam Islam, bahkan ia disebut “Bulan Allah” dan puasa sunat pada bulan itu disebut sebagai puasa yang terbaik selepas puasa bulan Ramadan. Ini dijelaskan menerusi hadis sahih yang bemaksud “Puasa terbaik selepas bulan Ramadan adalah semasa bulan Allah, Al-Muharam”.

UiTM Cawangan Kelantan mengambil kesempatan ini untuk bersama menjayakan aktiviti Kacau Bubur Asyura bersama warga UiTMCK. Terdapat 7 kawah di mana setiap kawah mewakili setiap bahagian/ unit untuk sama-sama menyediakan bahan-bahan Bubur Asyura bermula seawal jam 5:00 pagi hingga selesai agihan pada jam 4:30 petang kepada semua staf. Objektif program ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga UiTMCK serta menghayati Bulan Kebesaran Islam (Bulan Muharam) sebagai azam baru untuk memperbaiki diri berteraskan ESI dan i-DART.

Program ini dirasmikan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTMCK dan barisan Pengurusan UiTMCK. Bagi memeriahkan lagi program ini, penganjur menyediakan beberapa kategori yang dipertandingkan dan pemilik kepada setiap kategori tersebut adalah seperti berikut:-

Pakaian Ikut Tema: Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Sporting: Kampus Kota Bharu
Kerjasama: Bahagian Pentadbiran & Perpustakaan Tengku Anis
Bersih: Bahagian Pengurusan Fasiliti & Bahagian Infostruktur
Penyabar dan Istiqamah: Bahagian Pejabat Rektor & Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni
Penyayang: Bahagian Hal Ehwal Akademik & Pejabat Bendahari
Ceria: Kontraktor Dalaman UiTMCK
Terbaik & Keseluruhan: Kampus Kota Bharu

Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua bahagian/ unit yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi memeriahkan program “Majlis Jom Kacau Bubur Asyura UiTMCK”.