Majlis Jalinan Kasih Ukhuwah Jannah Anjuran Unit Pengurusan Kolej dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan

MAJLIS JALINAN KASIH UKHUWAH JANNAH ANJURAN UNIT PENGURUSAN KOLEJ DAN JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR UiTM CAWANGAN SELANGOR, KAMPUS SUNGAI BULOH, SELAYANG & TELUK INTAN

13 MEI 2023 – Sambutan hari penuh kemenangan, Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna apabila dapat diraikan dengan golongan yang memerlukan. Di atas keprihatinan dan kesedaran ini, bersempena Bulan Syawal Al-Mubarak yang mulia ini, Unit Pengurusan Kolej (UPK) bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) telah menganjurkan program Majlis Jalinan Kasih Ukhuwah Jannah (Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri) bersama Anak-anak Yatim dari Rumah Kebajikan Ehsan Al-Shakur (PEKEAS).
Majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti yang kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim ini. Majlis ini telah dirasmikan dan disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA dan turut menyerahkan sumbangan duit raya dan door gift raya kepada anak-anak yatim ini.

Turut hadir pada majlis istimewa ini ialah YBhg. Profesor Ts. Dr Asmah Awal (Pemangku Rektor), YBhg. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman (Penolong Rektor), YBhg. Prof. Madya Dr. Fazah Akhtar Hanapiah (Dekan Fakulti Perubatan), Ketua-Ketua Unit UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan, Staf Residen Kolej, Barisan Staf Unit Pengurusan Kolej, Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Perubatan dan Pergigian, Persatuan Pelajar serta Sekretariat Kolej Kediaman.

Selain itu, Encik Mohd Adlan Bin Senin yang merupakan Pengurus Pentadbiran Rumah Kebajikan Ehsan Al-Shakur (PEKEAS) merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput mereka untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini. Majlis ini bukan sahaja telah memberi peluang kepada anak-anak yatim dibawah seliaan beliau untuk menikmati kemeriahan berhari raya bersama. Disamping itu, ianya juga dapat merapatkan hubungan silaturahim antara anak-anak yatim bersama pelajar-pelajar Universiti Teknologi MARA. Beliau juga berharap agar hubungan siratulrahim ini dapat dikekalkan dan dipanjangkan kepada program lain di masa akan datang. Program ini juga telah dihadiri seramai 500 orang tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim seramai 40 orang dan warga UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan iaitu seramai 460 orang.

Majlis ini telah dapat dilaksanakan dengan meriah dengan harapan dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim untuk bersama meraikan bulan syawal yang mulia ini bersama para pelajar dan warga UiTM. Semoga program dan majlis seperti ini dapat dijadikan sebagai salah satu wadah atau platform untuk mengeratkan siratulrahim diantara pelajar dan komuniti luar.

Di akhir kalam, setinggi-tinggi ucapan penghargaan diberikan YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA dan semua wakil dari UiTM Cawangan Selangor, serta wakil Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan yang telah hadir bagi memeriahkan majlis ini. Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.