Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada para kepimpinan organisasi dan warga kerja secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.

Penganjuran majlis IBR dengan kerjasama SPRM Selangor telah dipengerusikan oleh Dr. Mazura Bahari, Pengerusi Jawatankuasa Integriti, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Selangor, berlangsung pada hari Khamis, 11 Januari 2024 di Dewan Seminar Tingkat 8, bangunan FSK 6. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Selangor, PKPj Tuan Riduan Abd Malik bersama tiga pegawai pengiring. Lafaz ikrar IBR diketuai oleh Dekan FSK, Professor Dr. Zulkhairi Hj Amom dan diikuti beramai-ramai oleh kesemua timbalan dekan dan seluruh warga FSK.

Majlis IBR adalah bertujuan untuk menggalakkan tadbir urus yang lebih baik, budaya integriti dalam organisasi serta tanda komitmen FSK UiTM Selangor untuk memupuk kesedaran dan pematuhan terhadap amalan antirasuah di kalangan kepimpinan, kakitangan dan warga kerja. Usaha membenteras rasuah ini dianggap serius oleh UiTM dan telah menjadikan ianya sebagai salah satu nilai utama UiTM kepada setiap individu dan warga kerja yang di terjemahkan dalam program ESI dan iDART UiTM iaitu excellence, synergy and intergrity. Memperkasakan integriti dikalangan warga FSK UiTM Selangor adalah sangat penting kerana keterlibatan kita bukan sahaja dalam menghasilkan graduan berilmu, beretika dan berkemahiran tinggi, kita juga sangat signifikan dan terlibat secara langsung dalam penjagaan kesihatan masyarakat dan rakyat Malaysia khususnya.

Jesteru itu, FSK UiTM Cawangan Selangor akan berusaha sehabis baik memastikan setiap warganya menghayati nilai-nilai murni melalui kesedaran, pematuhan dan tingkah laku diri secara berterusan untuk mencapai etika profesionalisme yang tinggi, bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan tugas dengan jujur serta menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa sepanjang perkhidmatan berdasarkan kepada kepercayaan yang diberi seterusnya memartabatkan integriti sebagai lambang jati diri dan nilai utama warga FSK UiTM Cawangan Selangor.