Kolaborasi UiTM, F1 In Schools Malaysia bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Tingkatkan Minat dan Kebitaran Pelajar Terhadap Stem

SHAH ALAM, 26 FEBRUARI 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM), F1 in Schools Malaysia bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah berkerjasama menjayakan program F1 in Schools: National Finals 2024 kali ke-dua bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM.

Menurut laporan dari National STEM Movement, kurangnya pelajar meminati bidang STEM selepas tamat peperiksaan Tingkatan 3 amat membimbangkan. Tren terkini dilihat semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Tentunya tren ini memberikan kesan besar bagi menyediakan sumber manusia berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik tempatan dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan memperkasa pendidikan STEM, khususnya di kalangan pelajar sekolah, beberapa inisiatif telah dilaksanakan melalui program yang dirancang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara aktiviti yang banyak menerapkan pendidikan STEM adalah F1 in Schools yang diasaskan oleh Andrew Denford daripada F1 in Schools Ltd, UK pada tahun 2000. Pertandingan ini digunakan sebagai landasan untuk menarik minat pelajar terhadap STEM dengan menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih menarik, seronok dan mencabar.

Pelajar yang terlibat dalam program ini harus merekabentuk kereta berskala kecil (miniature) dan seterusnya dilumbakan di atas trek sepanjang 20 meter berbekalkan tenaga CO2 yang diletak pada belakang badan kereta. Selain pencirian dalam lukisan grafik samada secara 2D atau 3D, kaedah mendapatkan rekabentuk optimum juga diberi penekanan dengan bantuan simulasi komputer sebelum proses pembuatan dijalankan.  Selain penerapan aspek STEM melalui  penghasilan model kereta F1, pertandingan ini juga menekankan aspek lain seperti pemikiran kreatif dan inovatif mengurus dan menyempurnakan tugasan pada tarikh yang ditetapkan bagi tujuan pertandingan. Selain itu, pelajar juga didedahkan aspek pemasaran secara kolaborasi bersama rakan strategik dari industri, khususnya untuk mencari dana bagi membantu menjayakan setiap projek yang terhasil.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Musa Al Haj dari Negeri Sembilan dinobat sebagai Juara Kebangsaan dalam ‘National Final F1 in Schools’. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.