8 April 2023 – Majlis Iftar Nurani Kasih Ramadhan UMAT 2023 anjuran Persatuan Alumni UiTM Cawangan Melaka (UMAT) telah berlangsung dengan jayanya di LaCrista Hotel, Melaka. Majlis yang dihadiri seramai 200 orang jemputan daripada kalangan alumni, mantan pensyarah, pensyarah, dan siswa UiTM ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Omar Shariff Mydeen, Ahli Lembaga Pengarah UiTM yang juga merupakan alumni UiTM Cawangan Melaka.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor ICAN UiTM, YBhg. Prof. Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah dan para pegawai daripada Pusat Jaringan Alumni (ANC), UiTM termasuk Pengarah ANC, YBhg. Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti, Ketua Unit Jaringan Alumni ANC, En. Muhammad Luthfi Mohaini dan juga Ketua Unit Data ANC, Pn. Nur Syuhada Muhammad. Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Melaka yang dibarisi oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini., Timbalan-Timbalan dan Penolong-Penolong Rektor.
Majlis iftar ini telah dijayakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) UiTM Cawangan Melaka, Kelab Pesara UiTM Cawangan Melaka, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Melaka, dan ahli alumni. Dalam ini juga, sejumlah 30 orang penerima Dermasiswa Tabung UMAT Lestari Untuk Siswa (TULUS) turut diraikan. Para penerima dermasiswa TULUS ini merupakan siswa-siswi di UiTM Cawangan Melaka yang terpilih berdasarkan pencapaian akademik dan latarbelakang pendapatan keluarga (B40).
Pemilihan secara saringan dan temuduga telah dijalankan di ketiga-tiga kampus pada pertengahan bulan Mac yang lalu. Setiap penerima dermasiswa menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000.00 yang mana jumlah keseluruhannya iaitu RM30,000.00 telah berjaya diperolehi melalui sumbangan ahli alumni, individu, dan organisasi korporat.
Dalam majlis yang sama, Presiden UMAT, YBhg. Dato’ Rosthman Ibrahim turut melancarkan Tabung Kutipan Projek CSR UMAT LED Skrin untuk mendapatkan dana bagi pemasangan skrin LED di Dewan Taming Sari, UiTM Kampus Alor Gajah.
Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan di masa hadapan demi menjamin hubungan silaturahim yang erat antara pihak alumni, pengurusan UiTM, dan siswa-siswi. Pihak UMAT juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan sumbangan dalam menjayakan program ini.