13 April 2023 – Majlis Iftar Jama’ie telah menyemarakkan bulan kemuliaan bulan Ramadhan 1444H di UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan. Setelah hampir 3 tahun program sebegini terhenti akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, majlis yang diadakan ini dapat disambut dalam keadaan meriah dan bersederhana bersama seluruh warga kampus.
Majlis Iftar Jama’ie ini telah dihadiri seramai 140 warga kampus yang terlibat secara langsung dalam program ini yang terdiri daripada 90 orang staf dan 50 orang pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Persatuan Peer Kaunselor (PEERS) dan Persatuan Alliance of Insaniah UiTM (ALIS). Majlis ini juga telah dihadiri Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan serta Barisan Pengurusan Kampus. Ianya juga dimeriahkan dengan kehadiran Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) yang turut hadir.
Program ini dimulakan dengan Bicara Nuzul Al-Quran 1444H yang telah disampaikan oleh Dai’ Hadhari. Selesai program bicara tersebut, majlis diteruskan dengan Majlis Iftar Jama’ie dan Solat Maghrib dan Terawih secara berjemaah. Penutup adalah moreh bersama warga kampus.
Matlamat Majlis Iftar Jama’ie ini bertujuan untuk menyambut bulan Ramadhan Mubarak dengan penuh keikhlasan bersama-sama warga kampus dan dapat meningkatkan siratulrahim dan sinergi sesama warga. Harapannya semoga program-program seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang dalam menganjurkan pelbagai aktiviti bersama seluruh warga kampus.