Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi Pejabat Rektor UiTM Cawangan Kelantan bagi Tahun 2022

MACHANG, 6 Februari – Majlis Apresiasi & Sanjungan Budi Pejabat Rektor UiTM Cawangan Kelantan Bagi Tahun 2022 telah diadakan pada 5 Februari 2023. Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk meraikan dan menghargai usaha-usaha staf di bawah Pejabat Rektor sepanjang tahun 2022. Selain dapat berkumpul dan mengeratkan silaturahim, majlis ini diharap dapat meningkatkan motivasi staf untuk lebih cemerlang pada tahun 2023, agar dapat menjadi universiti terkemuka dunia, menjelang 2025.

YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua staf Pejabat Rektor yang berusaha untuk menjayakan majlis. Pejabat Rektor didukung oleh 8 Unit dan unit-unit ini merupakan tiang seri UiTM Cawangan Kelantan. Amat sukar bagi semua unit mencari tarikh yang sesuai untuk berkumpul kerana setiap unit ada perancangan dan program-program mereka yang tersendiri. Namun, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kesepakatan dan keakraban yang terbentuk antara individu dalam satu pasukan akan membuahkan hasil yang membanggakan.

Majlis Apresiasi & Sanjungan Budi Pejabat Rektor UiTM Cawangan Kelantan Bagi Tahun 2022 sebagai tanda mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap unit di bawah Pejabat Rektor atas usaha dan kesungguhan dalam merancang dan menjayakan perancangan universiti, usaha dan komitmen yang telah diberikan sehingga berjaya mencapai KPI tahun 2022. Penerimaan Anugerah bagi 5 kategori yang telah dinilai oleh barisan pengurusan iaitu Anugerah Staf Paling Ceria, Anugerah Staf Harapan Pejabat Rektor, Anugerah Staf Proaktif, Anugerah Staf Berprestasi Cemerlang dan Anugerah Staf Paling Karismatik. Semoga momentum ini terus dikekalkan dan ditambah baik pada tahun 2023.

Majlis ini juga, meraikan staf-staf di bawah Pejabat Rektor yang telah tamat tempoh berkhidmat dan juga yang bertukar jawatan serta penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah menyumbang bakti bersama Pejabat Rektor. Ibarat kata pepatah yang datang akan pergi, yang lewat akan berlalu. Semoga semua staf Pejabat Rektor terus berusaha memberikan yang terbaik kepada Universiti, khususnya bagi Kampus Cawangan Kelantan.