Majlis Apresiasi 2021 Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Perlis

ARAU – Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan Majlis Apresiasi 2021 dengan tema ‘APB Cemerlang Bersama’ pada 4 April 2022. Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada para pensyarah di atas pencapaian dan sumbangan mereka yang cemerlang. Selain itu, objektif majlis untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama yang lebih progresif dapat terjalin sesama warga Akademi dan juga kakitangan kampus.

Pihak penganjur juga telah mengambil inisiatif dengan memberi penghargaan kepada pelajar praktikum luar negara (Cangzhou Normal University, China) dan para pelajar latihan industri tempatan yang telah secara langsung dan tidak langsung memberi sumbangan dalam membantu mengharumkan nama Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Perlis.

Majlis yang diadakan secara atas talian (Webex) diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor dan Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Cawangan Perlis.

Dalam ucapan beliau, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim berharap agar majlis yang julung kali diadakan ini dapat meningkatkan lagi komitmen, dedikasi dan motivasi para pensyarah Akademi Pengajian Bahasa untuk mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang di masa yang akan datang, selari dengan aspirasi UiTM untuk menjadi universiti yang terunggul di mata dunia.