Selaras dengan pemerkasaan nilai-nilai UiTM di kalangan para mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) telah mengadakan program Kursus Pemantapan Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi 2024. Program ini telah berlangsung dengan jayanya pada 13 hingga 15 Mac 2024 di Institute of Leadership & Development (ILD), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Seramai 70 orang pelajar FPP telah menyertai program ini. Peserta-peserta program ini terdiri daripada ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), wakil pemimpin-pemimpin persatuan dan kelab dalaman FPP, serta tiga (3) orang pensyarah pengiring.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memantapkan kualiti pelapis pemimpin-pemimpin mahasiswa untuk menjadi lebih cekal dan berdaya saing. Di samping itu, kursus ini juga dapat mengukuhkan kemahiran para peserta dari aspek pengurusan organisasi persatuan dan kelab serta merapatkan ukhuwah antara para peserta.
Sepanjang tiga (3) hari program ini berlangsung, pelbagai slot pengisian telah dilaksanakan. Antaranya adalah slot suai-kenal bersama HEP FPP, slot tatacara pengurusan persatuan dan kelab, slot pengacaraan majlis, slot kaunseling kepimpinan Bersama Unit Kaunseling dan Kerjaya UiTM Cawangan Selangor (UKK UCS), slot ESI-IDART serta slot bersama Unit Komunikasi Korporat FPP. Selain itu, program ini juga diselangi dengan sesi dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FPP serta aktiviti debat ala parlimen.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi kesan yang signifikan kepada semua peserta. Setiap slot dan pengisian program ini memberi refleksi yang positif kepada para peserta agar mereka berdapat menjadi peneraju transformasi kepimpinan mahasiswa yang lebih mapan dan berkualiti.