Selamat Datang kepada Pelajar Baharu Program Pra Diploma Perdagangan ke UiTM Cawangan Pulau Pinang sesi kemasukan Mac 2024

PERMATANG PAUH, 15 Mac 2024 – Seramai 32 Pelajar Baharu Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) telah berjumpa buat kali pertama dengan Koordinator Program PPT secara dalam talian menerusi platform google meet.  Walaupun semua pelajar Baharu PPT masih lagi berada di rumah, namun mereka tetap bersemangat untuk memulakan sesi pengajian di UiTM Cawangan Pulau Pinang bagi sesi pengambilan Mac 2024.

Pada semester Mac 2024 kali ini para pelajar baharu akan memulakan sesi pembelajaran secara atas talian selama tiga minggu dan akan kembali ke kampus secara bersemuka selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri. Beralih kepada pembelajaran secara dalam talian mungkin tidak asing lagi bagi para pelajar dan kebanyakannya boleh menerima dan menyesuaikan diri. Para pelajar sepatutnya bersyukur dan bergembira kerana dapat melalui bulan Ramadhan serta menyambut Hari raya bersama keluarga di rumah sebelum fokus secara fizikal di kampus.

Untuk itu, para pelajar dinasihatkan untuk terus memastikan bahawa mereka mempunyai akses yang mencukupi kepada sumber pembelajaran termasuk akses kepada peralatan komputer, sambungan internet yang stabil dan perisian yang diperlukan untuk sesi pengkuliahan dalam talian bagi tiga minggu pertama ini. Hal ini kerana, sesi pengkuliahan akan berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Sesi taklimat khas pelajar baharu pra diploma bersama Koordinator PPT ini bermula jam 3 petang dan berakhir pada 4.30 petang.  Kesemua 32 pelajar baharu yang mendaftar bagi semester ini adalah terdiri daripada program Pra Diploma Perdagangan. Semoga mereka dapat mengharungi semester ini dengan baik dan jayanya. Beberapa pelajar ada menyatakan keterujaan mereka untuk mendaftar ke kampus selepas Hari Raya nanti.

Malah, terdapat seorang pelajar daripada Kuala Lumpur, saudari Jaccuennue Binti Jokiri telah hadir awal ke kampus Permatang Pauh untuk meninjau suasana kampus. Katanya “Saya sangat gembira dengan penawaran melanjutkan pengajian ke program pra diploma perdagangan ini dan agak terkejut apabila ditawarkan di kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang yang mana ia adalah kali pertama saya akan merantau ke sebelah utara Malaysia. Jadi, bersama dengan keluarga saya telah datang ke kampus untuk meninjau lokaliti dan suasana kampus terlebih dahulu. Saya sukalah dan tak sabar untuk mendaftar secara fizikal nanti.”

Program Pra Diploma Perdagangan adalah satu program persediaan khas yang dijalankan selama satu semester sahaja khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program ini membekalkan pelajar dengan asas yang kukuh dalam bidang perdagangan sebelum mereka meneruskan pengajian ke peringkat diploma. Antara subjek tumpuan adalah pengajaran asas pengurusan perniagaan, perakaunan, matematik serta Bahasa Inggeris dan disulam dengan kelas teknik belajar serta Pembangunan Insan bagi pelajar muslim dan Etika Sosial bagi pelajar bukan muslim.

Hati gembira menerima tawaran,

Tawaran belajar di Pulau Pinang

Masuk UiTM satu pilihan,

Semoga berjaya dengan cemerlang.