LIMA PELAJAR FAKULTI PERUBATAN UiTM TERIMA BIASISWA YAYASAN MOHAMED NOAH

SUNGAI BULOH, 22 SEPTEMBER 2023 – Telah berlangsungnya majlis penyampaian sijil tahniah kepada lima penerima biasiswa Yayasan Mohamed Noah bagi sesi 2023 di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Lima orang pelajar Fakulti Perubatan yang terpilih bagi menerima biasiswa pada sesi pertama ini adalah Ahmad Ezani bin Mohd Muhiddin, Mohamed Irfan bin Basheer Mohamed, Nasrin Adriana binti Mohammad Zabri, Nur Aliah binti Jupailin dan Nurannisah binti Mohamed Aris.

Fakulti Perubatan UiTM telah mengambil 230 orang pelajar setiap tahun bagi mengikuti jurusan perubatan yang terdiri daripada bumiputera dan daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Para pelajar akan memohon biasiswa dan pinjaman dari JPA, MARA, Yayasan Negeri dan PTPTN bagi membiayai pengajian perubatan selama 5 tahun. Namun begitu, bermula sesi 2023 lima pelajar perubatan yang terpilih akan menerima biasiswa Yayasan Mohamed Noah bagi membantu meringankan beban kewangan, terutama dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar pada masa kini.

Pada penghujung tahun 2022, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Sekretariat Kebajikan Pelajar, HEP yang aktif dengan inisiatif-inisiatif kebajikan untuk pelajar Fakulti Perubatan UiTM telah memulakan perbincangan dengan pihak Yayasan Mohamed Noah pada 23 Jun 2023 sehingga Memorandum Perjanjian (MoA) telah siap ditandatangani oleh UiTM dan Yayasan Mohamed Noah bagi menaja lima penerima biasiswa Yayasan Mohamed Noah.

Biasiswa ini bertujuan membantu kewangan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang mempunyai prestasi akademik yang cemerlang. Ia juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai doktor yang berwibawa yang akan berkhidmat untuk negara. Pelajar yang terpilih akan menerima sebanyak RM1500 semester bagi membayar yuran pengajian dan yuran kolej sepanjang pengajian bermula dari Tahun 2 pengajian. Penerima biasiswa Yayasan Mohamed Noah sesi yang pertama (2023) telah menerima bayaran biasiswa pada 17 Ogos 2023.

Yayasan Mohamed Noah merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang aktif membantu komuniti miskin di Malaysia seperti Orang Asli, anak yatim piatu, warga tua dan ibu tunggal. Nama Yayasan Mohamed Noah diambil sempena Tan Sri Mohamed Noah Omar, iaitu speaker Dewan Rakyat yang pertama. Fakulti Perubatan mewakili pengurusan tertinggi UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Yayasan Mohamed Noah kerana usaha murni menaja lima pelajar perubatan setiap tahun bermula tahun 2023.

Tahniah diucapkan kepada penerima biasiswa Yayasan Mohamed Noah. Adalah diharapkan mereka akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk berusaha lebih keras bagi mencapai cita-cita menjadi doktor perubatan sekaligus dapat berkhidmat sebagai doktor kepada negara Malaysia tercinta dan menjadi contoh teladan terbaik kepada pelajar perubatan lain.