Perlawanan Bola Sepak Persahabatan Antara Pilihan THB Maintenance Sdn Bhd vs Pasukan Veteran UiTMCPP

BUKIT MERTAJAM, 27 September 2023 – Satu perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan pillihan THB Maintenance Sdn Bhd menentang pasukan veteran UiTMCPP telah diadakan pada 27 September 2023 (Rabu) bertempat di Stadium Mini Permatang Rawa, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Perlawanan persahabatan ini merupakan perlawanan kedua susulan daripada perlawanan pertama yang telah diadakan pada tahun lepas (27 Januari 2022) di tempat yang sama. Perlawanan ini juga merupakan antara aktiviti tahunan yang dijalankan di antara pihak industri, THB Maintenance Sdn Bhd dan UiTM Cawangan Pulau Pinang bagi merapatkan lagi hubungan di antara kedua belah pihak.

Walaupun keputusan perlawanan pada kali ini tetap memihak kepada pihak industri, pasukan pilihan THB Maintenance Sdn bhd (keputusan akhir 3:2), namun kedua-dua pasukan telah menunjukkan mutu permainan yang agak baik. Pada awalnya, pasukan Veteran UiTMCPP berjaya menyamai kehebatan pasukan pilihan THB Maintenance Sdn Bhd malah mendahului dengan kedudukan 2-0 namun pasukan pilihan THB Maintenance Sdn Bhd ternyata tenang dan terus menghambat pasukan Veteran UiTMCPP pada saat akhir untuk memburu kemenangan buat kali kedua berturut. Dek kerana kepenatan berikutan tahap permainan pantas yang ditunjukkan oleh pasukan pilihan THB Maintenance Sdn Bd, pasukan Veteran UiTMCPP akhirnya kecundang di saat perlawanan hampir tamat dan terpaksa akur akan kehebatan dan konsistensi yang ditunjukkan oleh pasukan pilihan THB Maintenance Sdn Bhd.

Pasukan pilihan THB Maintenance Sdn Bhd dinaungi oleh Pengurus Besar, Ts. Mohd Firdaus bin Ahmad Termizi dan Ts. Mohd Tarmizi bin Che Othman bertindak selaku penasihat pasukan. Manakala pasukan Veteran UiTMCPP dinaungi oleh Rektor UiTMCPP, Prof. Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali. Tahniah diucapkan kepada pasukan pilihan THB Maintenance Sdn Bhd. Bagi pasukan Veteran UiTMCPP, teruskan berjuang.