Lawatan Penanda Aras Alatan Inovasi Pengajaran, Dynamic Cultivator Blade oleh Jabatan Pertanian Melaka ke Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA)

JASIN, 3 Oktober 2023 – Pada 2 Oktober 2023, sebuah lawatan penanda aras alatan inovasi pengajaran oleh pihak Jabatan Pertanian Pulau Gelong, Melaka telah diadakan di Universiti Teknologi Mara. Lawatan tersebut bertempat di Fakulti Perladangan Dan Agroteknologi, Cawangan Melaka, Kampus Jasin. Pegawai Jabatan Pertanian yang hadir adalah Encik Syarizan, Encik Khairul dan Encik Faizal Ismail. Antara pihak fakulti yang terlibat adalah anggota kumpulan inovatif dan kreatif (KIK) fakulti seramai 6 orang iaitu Encik Zaharudin Shariman, Dr Nur Badriyah Kamarulzaman, Puan Salwa Adam, Dr Nur Maizatul Idayu Othman dan Puan Nur Suraya Abdullah. Kumpulan ini dinamakan AgroMind merupakan sebuah kumpulan yang berjaya menghasilkan prototaip yang dinamakan ‘Dynamic Cultivator Blade’ atau digelar sebagai DCB. Dynamic Cultivator Blade merupakan mata khas untuk merumput dan menggembur yang di gabung dan dipasang pada mesin rumput.

Produk inovasi ini dicipta khas selari dengan SDG4:Quality of Education di mana tujuan penciptaan adalah untuk memastikan proses merumput dan menggembur yang dijalankan oleh pelajar diploma perladangan dapat menjimatkan masa kerana dua aktiviti itu dapat dijalankan secara serentak melalui penggunaan DCB.

Melalui lawatan tersebut, pihak jabatan pertanian telah memberi cadangan penambaikan serta bersetuju bahawa inovasi ini sangat bagus untuk membantu para pelajar semasa menggembur dan merumput ketika membuat batas tanaman. Pihak jabatan juga berbesar hati kerana inovasi sedemikian mampu memberi impak besar kepada dunia pertanian secara amnya. Semoga dengan lawatan ini dapat mempertingkatkan lagi kualiti pengajaran dalam bidang peladangan dan agroteknologi.