Lebih 300 Mahasiswa Terima Manfaat “Tiket Rahmah” Melalui Program “Jom Balik Raya” Anjuran MPP UiTM Shah Alam

Shah Alam, 15 April 2023 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 telah menganjurkan program “Jom Balik Raya” iaitu satu inisiatif bagi menghantar pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing. Program ini merupakan usaha sama MPP bersama-sama pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Bahagian Pengurusan Kenderaan, Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII).

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan bas dengan harga yang berpatutan bagi membantu mahasiswa yang akan pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri 2023. Inisiatif ini juga bagi membantu mahasiswa yang mempunyai kekangan dalam membeli harga tiket bas yang mahal dan membendung masalah tiket bas yang habis di stesen-stesen bas. Program Jom Balik Raya ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 15 dan 16 April 2023. Program ini merupakan batu loncatan pemerkasaan mahasiswa dalam menguruskan aktiviti-aktiviti yang berimpak tinggi.

Program ini telah memanfaatkan lebih 300 orang pelajar daripada tujuh negeri semenanjung yang memuatkan sembilan bas dan 49 orang pelajar daripada dua negeri Sabah & Sarawak yang memuatkan dua bas. YBrs. Prof Madya Dr Shahsuzan Zakaria, Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM telah menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan ini dalam majlis perasmian yang dianjurkan pada 15 April 2023 sekaligus menyempurnakan flag-off penghantaran pelajar pulang. Turut hadir dalam majlis perasmian dan flag-off ini ialah Encik Wan Ahmad Rahiman Wan Abd. Rahim, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan barisan penaja. Turut serta sebagai rakan media dalam program ini ialah Media Prima, Harian Metro, Sinar Harian, NST dan TV9.

Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad (KOSISWA UiTM) telah memberikan sumbangan makanan kering sebanyak 400 pax yang bernilai RM3,200.00. Antara penaja lain yang turut menyumbang dalam program ini ialah MYDIN iaitu kuih raya sebanyak 100 pax yang bernilai RM1,000.00. Selain itu, Good Virtues Co juga telah menyumbang 400 pax travel-kit yang bernilai RM8,000.00 manakala Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) telah memberikan sumbangan 400 pek makanan kering yang bernilai RM4,000.00. Semua peserta program ini telah menerima sumbangan makanan kering, kuih raya dan produk travel-kit.

Secara keseluruhannya, program Jom Balik Raya ini telah menyemai semangat keprihatinan penganjur dalam menjaga kebajikan mahasiswa UiTM. Harapan Bahagian Hal Ehwal Pelajar agar program sebegini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang yang dapat memanfaatkan lebih ramai warga UiTM.