Lebih 1,200 Warga Non-Residen UiTM Hadir Ke Majlis Iftar Perdana Anjuran Unit Pengurusan Non-Residen (UPNR)

Shah Alam, 5 April 2023 – Unit Pengurusan Non-Residen (UPNR) telah menganjurkan majlis Iftar Perdana bersama penduduk Non-Residen (NR) di Masjid Seksyen 7, Shah Alam. Majlis Iftar Perdana ini merupakan majlis tahunan UPNR bagi meraikan pelajar NR sekitar Shah Alam dengan aktiviti-aktiviti masjid seperti tadarus Al-Quran, solat tarawih berjemaah, iftar perdana dan sentiasa mengimarahkan bulan Ramadan.

Antara objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa/i yang tinggal di kawasan sekitar UiTM dan komuniti penduduk setempat dan menggalakkan lebih ramai lagi mahasiswa untuk sama-sama mengimarahkan surau dan masjid dengan menyertai aktiviti yang dijalankan oleh masjid kawasan mereka. Selain itu, program seperti ini dapat mendekatkan lagi hubungan serta visibiliti antara Pengurusan UiTM, pelajar NR UiTM dan komuniti setempat.

Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP). Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi menerusi ucapannya menyokong program seperti ini terus dilakukan demi memupuk sifat kerohanian dalam kalangan pelajar. “Pengurusan tertinggi UiTM akan sentiasa bersama-sama pelajar, tidak kira yang tinggal di dalam atau luar kampus. Program sebegini juga adalah sebuah usaha mengajak warga UiTM termasuk pelajar NR UiTM Shah Alam untuk mengimarahkan masjid dengan pengisian yang menyucikan minda dan jiwa”, ujar beliau.

Program Iftar Perdana ini telah disambut baik apabila lebih 1,200 pelajar NR UiTM Shah Alam turut serta bersama-sama memeriahkan program ini. UiTM melalui UPNR akan terus memperkasa dan menganjurkan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi yang seterusnya dapat mewujudkan kebersamaan dan inklusiviti antara pelajar NR dan pengurusan UiTM.