Lawatan Sambil Belajar Pelajar Australian National Universiti (ANU) Ke Makmal Insektorium, Fakulti Sains Kesihatan; Meneroka Potensi dan Keunikan Lalat Tentera Hitam.

PUNCAK ALAM, 5 Julai 2023 – Makmal Insektorium, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam dengan bangganya telah menerima kunjungan dari Australian National University (ANU) yang diwakili oleh 2 orang pensyarah dan 23 orang pelajar dalam lawatan sambil belajar sempena program ‘Malaysia Summer Camp 2023: Understanding Health Hazards’ anjuran UiTM bersama rakan kolaborasi iaitu Malaysia Association of Environmental Health (MAEH), UPM, UKM & ILKKM.

Tujuan lawatan ini adalah untuk mempelajari teknik penternakan lalat tentera hitam dan pengkomposan sisa organik di dalam konteks kelestarian alam sekitar. Lalat tentera hitam (Hermetia illucens) telah mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai satu kaedah alternatif dalam pengurusan sisa organik. Ia berperanan sebagai pengurai utama dalam memecahkan sisa organik menjadi kompos yang bermanfaat. Dalam masa yang sama, penternakan lalat tentera hitam juga memberikan peluang ekonomi dalam bidang perikanan, peternakan, dan industri makanan haiwan menerusi penghasilan larvanya yang berkualiti tinggi. Ketua Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Dr Siti Rohana Mohd Yatim mengalu-alukan kehadiran pihak ANU dan menjelaskan bahawa UiTM telah menjalankan penyelidikan dalam bidang penternakan dan pengkomposan menggunakan lalat tentera hitam ini sejak dari tahun 2020 dan berharap dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan ANU.

Pelawat-pelawat daripada ANU didedahhkan tentang kitaran hidup lalat tentera hitam, keperluan nutrien, dan keperluan habitat yang sesuai untuk penternakan lalat ini. Mereka juga diperkenalkan kepada teknik penternakan yang efisien dan alat-alat yang digunakan untuk mengawal persekitaran dalaman bagi memastikan keberkesanan penghasilan kompos. Selain itu, mereka juga diajar tentang teknik pemisahan larva lalat tentera hitam dari kompos yang matang, yang merupakan langkah penting dalam proses penghasilan baja kompos. Para pelawat diberikan peluang untuk melihat sendiri proses pemisahan larva dan peranannya dalam pengkomposan sisa organik.

Dr Andrew Mathieson, pensyarah bidang Kesihatan dan Keselamtan Persekitaran ANU, menyambut baik pengalaman yang diperolehi para pelajar beliau. Beliau menyatakan bahawa lawatan ini memberikan mereka wawasan yang unik dan peluang untuk memahami potensi penting lalat tentera hitam dalam pengurusan sisa organik. Lawatan ini juga memberikan peluang kepada pelajar ANU untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar UiTM yang mempunyai minat dalam bidang yang sama. Mereka dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman, serta membina hubungan antara kedua-dua buah universiti. Diharapkan lawatan ini akan mendorong kolaborasi dan pertukaran ilmu antara UiTM dan ANU dalam usaha untuk memajukan bidang penternakan lalat tentera hitam dan pengkomposan sisa organik.