Lawatan Pemantauan Prosedur Kajian Mitragyna Speciosa Demi Integriti Penyelidikan

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah menerima kunjungan rasmi oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Lawatan ini diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Farmasi, Puan Debbie Lee Sui Ling dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi. Beliau hadir bersama seorang pegawai kanan farmasi dalam lawatan ini.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk meninjau dan memeriksa ke atas projek penyelidikan saintifik yang sedang dijalankan di UiTM Sarawak berkaitan tumbuhan Mitragyna Speciosa atau lebih dikenali sebagai ketum. Projek penyelidikan ini telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Lawatan bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir pada jam 1 tengahari. Beberapa agenda utama telah dirancang sepanjang tempoh lawatan 4 jam tersebut. Perkara pertama yang disemak adalah rekod dan dokumentasi berkaitan projek penyelidikan. Ini termasuk penelitian terperinci terhadap setiap rekod yang disimpan dalam bentuk fizikal dan juga elektronik. Semua data, laporan, dan analisis ujian makmal yang berkaitan projek penyelidikan ini telah disemak dengan teliti. Langkah ini penting bagi memastikan segala dokumentasi yang dihasilkan mematuhi standard dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Seterusnya, rombongan telah melawat sendiri ke makmal kimia tempat kerja-kerja penyelidikan dijalankan. Mereka telah menyemak kelengkapan peralatan yang digunakan serta prosedur keselamatan makmal. Turut diperiksa adalah bahan-bahan kimia yang disimpan di makmal khususnya bahan-bahan berkaitan kajian tumbuhan Mitragyna Speciosa. Semuanya disahkan berada dalam keadaan teratur dan mematuhi garis panduan penyimpanan seperti yang ditetapkan.

Lawatan turut merangkumi tinjauan ke unit ladang tumbuhan khas yang menanam pokok-pokok spesies Mitragyna Speciosa bagi tujuan penyelidikan. Para pegawai turut mengingatkan pihak universiti tentang aspek keselamatan dan kawalan capaian ke kawasan tersebut agar hanya staf bertanggungjawab sahaja dibenarkan masuk.

Secara keseluruhannya, UiTM Sarawak mengalu-alukan lawatan seperti ini sebagai salah satu proses penting dalam memastikan aktiviti penyelidikan yang dijalankan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa. Ia juga merupakan gabungan usaha positif antara pihak universiti dan agensi kerajaan dalam menambahbaik amalan terbaik demi kepentingan negara.