Lawatan Muhibbah ke Rumah Bekas Pensyarah Perakaunan UiTM Pahang

Temerloh, 10 Februari 2023 – Pusat Pengajian Perakaunan (PPP) UiTM Cawangan Pahang telah membuat lawatan muhibbah ke rumah bekas pensyarah PPP iaitu Cik Zuhariah binti Husin. Lawatan ini disertai oleh enam orang pensyarah PPP yang bertujuan untuk mempereratkan lagi hubungan ukhuwah dan silaturahim sesama muslim.

Semasa sesi lawatan, Cik Zuhariah menceritakan pengalaman beliau jatuh sakit secara tiba-tiba sewaktu dalam perjalanan bercuti ke Istanbul yang mengakibatkan beliau tidak dapat meneruskan perjalanannya. Setibanya di Doha Airport, beliau terpaksa membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur dengan segara kerana mengalami masalah sakit kepala dan senak dada serta bimbang sekiranya percutian diteruskan akan menggangu perancangan perjalanan agen.

Apabila tiba di Malaysia, beliau mengambil keputusan untuk melakukan peperiksaan kesihatan di Kuantan Medical Center (KMC) dan doktor mengesahkan bahawa terdapat jangkitan kuman di paru-paru beliau dan telah disarankan oleh doktor untuk berehat sepenuhnya. Setelah beberapa bulan (sejak bulan September 2022), tahap kesihatan beliau sudah bertambah baik.

Bercerita pengalaman beliau sewaktu bergelar ‘YB’ (Yang Bersara) Cik Zuhariah memberikan nasihat sekiranya ingin keluar kemana-mana, kita hendaklah memberitahu keluarga terdekat ataupun kenalan rapat kemana kita pergi. Hal ini kerana, sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, sekurang-kurangnya saudara terdekat dapat mengenalpasti keberadaan kita pada ketika itu. Antara medium yang dapat kita gunakan pada masa kini ialah seperti aplikasi WhatsApp, di mana kita boleh mesej mahupun boleh menggunakan ‘Live Location’. Sebaik-baiknya, janganlah kita terlalu berahsia dan cuba untuk betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Lawatan Muhibah ke rumah Cik Zuhariah berlangsung selama lebih satu jam dan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan. Diharap agar beliau sembuh sepenuhnya dan dipermudahkan segala urusan seharian. Semoga Allah sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepada beliau dan sentiasa dalam jagaan-Nya.