Program Bersama Komuniti – Terapi Cara Kerja Untuk Kanak-Kanak Bersekolah

KEPALA BATAS, 12 JANUARI 2023 (KHAMIS): Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam telah menjalin kolaborasi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas dalam mengadakan program bersama komuniti yang terdiri daripada 39 orang pelajar tingkatan lima dan 32 orang pelajar pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Program “Community Engagement – OT for school children” ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohamad Rafei bin Yaakob selaku Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Kepala Batas. Turut hadir ialah barisan pensyarah-pensyarah UiTM, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, guru-guru, dan pembantu murid yang terlibat.

Program ini bertujuan untuk mengaplikasikan kursus yang diambil oleh mahasiswa Program Diploma Pemulihan Cara Kerja kepada pelajar-pelajar di SMK Kepala Batas. Aktiviti kemahiran motor dan multisensori telah digunakan dalam pengisian program bersama murid-murid pendidikan khas manakala satu sesi ceramah dan penilaian kualiti tidur telah dijalankan terhadap murid-murid tingkatan lima di SMK Kepala Batas.

Kesemua 29 orang mahasiswa telah bertindak selaku fasilitator dalam kedua-dua program tersebut. Hasil dari program ini telah memberikan mahasiswa peluang untuk memberikan ilmu pengetahuan mengenai kepentingan tidur yang mencukupi kepada golongan remaja terutamanya pelajar sekolah, agar meningkatkan prestasi dalam menjalankan aktiviti seharian. Selain itu, aktiviti kemahiran motor dan multisensori yang dijalankan kepada murid-murid berkeperluan khas dapat mengenalpasti gangguan perkembangan motor dan sensori dalam kalangan murid-murid berkeperluan khas serta memberikan idea pengajaran kepada guru-guru.

Sambutan dan maklum balas daripada pihak sekolah amat memberangsangkan dan para peserta juga memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan. Kebolehan peserta untuk menunjukkan kreativiti dan melakukan pembentangan projek amat dikagumi.

Pihak penganjur iaitu Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jawatankuasa program, para pensyarah, pengurusan tertinggi sekolah, guru-guru dan pelajar sekolah yang terlibat bagi menjayakan program ini. Diharapkan program komuniti sedemikian dapat dijalankan di masa akan datang.