Lawatan Menteri Besar Pahang ke UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah hadir untuk melawat serta memantau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Dalam sesi lawatan ini, YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan Yang Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang turut hadir bersama bagi mengiringi YAB Menteri Besar. Bersama-sama beliau ialah Pegawai Daerah Raub, YBhg. Dato’ Mohammad Shahid Ismail, Pegawai Kesihatan Daerah Raub, YBrs. Dr. Shafizah Ahmad Shafei serta Pegawai Sains dari MOSTI YBrs. Cik Manja Murni Che Khalid.

YAB Menteri Besar amat gembira melihat proses pemberian vaksin yang berlangsung secara lancar dan beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh agensi yang terlibat dalam usaha untuk menjayakannya. Hal ini menunjukkan satu kerjasama yang erat antara kesemua agensi kerajaan yang terlibat.

Manakala, menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan pula, lawatan YAB Menteri Besar ke PPV Mega di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub ini menunjukkan satu kesungguhan daripada Kerajaan Negeri dalam membentuk sinergi antara agensi-agensi kerajaan di Negeri Pahang ke arah meningkatkan proses vaksinisasi dalam negara. Beliau menjelaskan lagi, usaha ini dilihat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-3 iaitu bagi mencapai kesihatan baik dan kesejahteraan dalam masyarakat, dan perkara ini dilihat terbentuk menerusi SDG ke-17 iaitu bekerjasama demi mencapai matlamat sebagaimana yang dilaksanakan di PPV Mega ini.

Semoga segala usaha yang dilakukan ini akan memberikan kebaikan dan manfaat kepada seluruh komuniti dan masyarakat di Daerah Raub.