FB Live Sports Catalysts: FAQlive Topik25# – Digit Ratio Ukuran Jari: Potensi Prestasi Sukan?

Seiring dengan saranan Program Pembangunan Negara Bersatu untuk bidang SDG 3 (Health & Wellness) dan SDG 4 (Quality Education), Encik Mohd Zulkhairi Bin Mohd Azam, pensyarah kanan dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang telah dijemput sebagai panel untuk memberi perkongsian ilmiah melalui program FAQlive Topik25# – Digit Ratio Ukuran Jari: Potensi Prestasi Sukan? Program kelolaan Sports Catalysts itu telah berlangsung selama 1 jam dari pukul 9.00malam sehingga pukul 10.00malam. Ia telah diadakan dengan menggunakan medium di dalam talian aplikasi Facebook Live (Page: Sports Catalysts) dan juga boleh diakses melalui aplikasi Airmeet.

Seperti yang dimaklumkan, program tersebut adalah di bawah anjuran organisasi Sports Catalysts yang dikendalikan oleh dua orang moderator, iatu Encik Mohd Hafizuddin Bin Baki dan Encik Shahril Bin Mohamed, yang mana kedua-duanya adalah merupakan jurulatih kecergasan ragbi negara dan bekas atlit ragbi negara. Hasil dari hebahan dan promosi oleh pihak Sports Catalysts, program tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan seramai 1,639 orang pengguna Facebook dan aplikasi Airmeet yang mana kebanyakkannya adalah terdiri daripada mahasiswa mahasiswi, cikgu, jurulatih, atlit, pensyarah, penggiat sukan dan orang awam telah turut serta menonton program tersebut.

Program yang dijalankan tersebut lebih merupakan kepada perkongsian ilmiah secara santai, agar penyampaian ilmu dan maklumat mudah difahami oleh pelbagai lapisan penonton. Tujuan utama program tersebut adalah untuk berkongsi akan apa itu digit ratio dan peranannya di dalam mempengaruhi prestasi sukan, serta potensi digit ratio sebagai indikator di dalam pencarian bakat sukan. Secara asasnya, digit ratio adalah hasil ukuran daripada jari telunjuk dan jari manis yang sensitif kepada rembesan hormon testosteron dan estogen ketika kandungan di dalam rahim ibu lagi. Ia telah banyak dibuktikan melalui hubungkait sebagai human bio-marker di dalam pelbagai aspek seperti menentukan kebolehan bidang akademik, psikologi, personaliti, risiko mendapat penyakit dan kebolehan di dalam sukan. Sepanjang sesi perkongsian tersebut berlangsung, Encik Mohd Zulkhairi telah berinteraksi dengan penonton dan moderator serta menjawab dengan baik setiap persoalan yang diajukan, yang mana telah membuka minda para penonton akan fungsi dan keberkesanan digit ratio.

Di samping itu, Encik Mohd Zulkhairi juga berkongsi hasil dapatan dari kajian saintifik bagi mengukuhkan lagi asas digit ratio sebagai potensi penentu prestasi di dalam sukan dan berpeluang mengajar kaedah bagaimana untuk mengukur digit ratio melalui jari masing-masing. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat untuk meningkatkan dan mempromosikan ilmu yang berkualiti berkenaan sains sukan, kesihatan dan kesejahteraan.

Susulan itu, pihak Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Mohd Zulkhairi dan juga pihak Sports Catalysts di atas kejayaan melaksanakan program tersebut. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada semua penonton di atas sokongan yang diberikan. Semoga program seperti ini memberi manfaat secara keseluruhannya kepada semua pihak yang terlibat.