Lawatan kerja ke Pusat Latihan dan Inkubator MASMED (PLIM) & Majlis Perasmian KMK Mart oleh delegasi Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA

Pada tanggal 13 Disember 2022, UiTM Cawangan Pahang berbesar hati menerima kunjungan lawatan kerja ke Pusat Latihan dan Inkubator MASMED (PLIM) & majlis perasmian KMK Mart oleh delegasi Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA yang terdiri daripada YBhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang (Penolong Naib Canselor Keusahawanan), YBrs. Ts. Dr. Nik Roselina Nik Rose (Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa) dan YBrs. En. Md Faizul Khalid@Abd Malek (Ketua Jabatan Inkubator Perniagaan) yang telah diiringi oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan (Rektor), YBhg. Prof. Madya Dr. Nazirah Ramli (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik), YBhg. Prof. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman (Timbalan Rektor PJI), YBrs. En. Mohammad Khair Mohd Seni (Timbalan Pendaftar) dan YBrs. Pn. Maisarah Ishak (Koordinator MASMED).

Program bermula dengan sesi lawatan ke Pusat Latihan dan Inkubator MASMED (PLIM) untuk meninjau lokasi Program Pembangunan Asnafpreneur. Program ini merupakan projek kerjasama di antara UiTM Cawangan Pahang dan Maybank Islamic Berhad yang merangkumi tiga jenis bidang iaitu urutan sukan, dandanan dan gunting rambut serta spa. Tumpuan program ini adalah kepada siswa dan siswi asnaf yang berminat dengan aktiviti keusahawanan bagi penjanaan pendapatan kendiri. Melalui program ini peserta dapat mempelajari kemahiran kebolehpasaran serta menambah ilmu dalam bidang keusahawanan. YBhg. Prof. turut beramah mesra bersama mentor dan peserta program yang hadir.

Seterusnya YBhg. Prof. telah merasmikan KMK Mart yang dikelolakan oleh YBrs. En. Mohamad Kamil Ariff Dato’ Khalid dan YBrs. Puan Normala Ismail sebagai mentor dan 10 orang petugas yang terdiri daripada siswa dan siswi UiTM Cawangan Pahang. KMK Mart merupakan kedai runcit yang menyediakan barang-barang keperluan asas yang diperlukan oleh siswa siswi. Turut berlangsung, majlis penyampaian pakej bakul untuk Gerobok KITA yang merupakan inisiatif Kelab Pensyarah, Unit Hal Ehwal Islam dan KMK Mart bagi membantu siswa dan siswi yang memerlukan. YBhg. Prof. juga bermurah hati menyumbang RM150 untuk 5 bakul pakej Berlian Merah yang bernilai RM30 setiap satu.

Sebagai penutup, YBhg. Prof. memberikan pesanan kepada siswa dan siswi untuk terus berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran keusahawanan bagi mencapai agenda universiti dan negara. Hal ini seiring dengan hasrat dan usaha MASMED UiTM Cawangan Pahang yang sentiasa komited dalam menyediakan ruang dan peluang untuk keterlibatan siswa siswi dalam aktiviti perniagaan.