Kerjasama Penyelidikan Kejuruteraan UiTM Dan Pusat Rehabilitasi Perkeso Berjaya Merangkul Naib Juara Di IRC2022

PUTRAJAYA 14 Disember – PERKESO melalui Program Return To Work (RTW) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi dan Rekacipta (IRC) 2022. Sejumlah hampir 70 penyertaan telah dinilai dan hanya lima inovasi terbaik telah dipilih ke peringkat akhir bagi setiap Kategori Pelajar IPTA/IPTS dan Kategori Orang Awam. Penilaian akhir telah diadakan di Menara PERKESO Putrajaya pada 13 dan 14 Disember 2022.

Profesor Madya Dr. Noor Ayuni Che Zakaria, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, En. Mohamad Firhan Morni dan En. Mohamad Tolha Subhi daripada Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Kampus Shah Alam telah bekerjasama dengan penyelidik daripada Pusat Rehabilitasi PERKESO Dr. Noor Hafifi Noor Hisham dan Pn. Nasiha Shakina Shariffuddin untuk membangunkan produk yang membantu orang hilangupaya untuk kekal sihat dan mampu Kembali bekerja dengan cepat dikenali sebagai PARAFiTGo.

PARAFiTGo adalah Treadmill Wheelchair bagi kegunaan golongan OKU fizikal berkerusi roda untuk mengekalkan tahap optimum kesihatan mereka di dalam ruangan yang terbatas. PARAFiTGo dibangunkan dengan tenaga kepakaran daripada tim Kejuruteraan Mekanikal. Penggunaan PARAFITGo perlu diselarikan dengan mengikuti protocol PARAFiT yang telah dibangunkan oleh Dr Noor Hafifi Noor Hisham bersama kumpulan penyelidik daripada Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam; Profesor Madya Dr. Mohd Haidzir Abd. Manaf dan Dr. Noor Azliyana Azizan.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr Noor Hafifi berjaya merangkul Naib Juara IRC2022 (Kategori Orang Awam), membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM3000 beserta sijil. PARAFiTGo adalah produk di bawah tanda dagangan PARAFiT dan mula menerima tempahan bagi produk PARAFiTGo Basic.

Juara bagi IRC2022 dirangkul oleh Kumpulan Rehab Charger (Kategori IPTA/IPTS) dan SPS Hero (Kategori Orang Awam). Tahniah!