Penyelidik UiTM Berkolaborasi Hasilkan Produk Sarang Burung

Kolaborasi kumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan bersama Nanyang Dreams International Trading Sdn. Bhd. telah berjaya menghasilkan produk sarang burung yang berkualiti tinggi. Projek yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui geran Public-Private Research Network (PPRN) sebanyak RM 103,950.00 ini telah membuka peluang kepada pembangunan penyelidikan dan memberikan manfaat bagi inovasi industri.

UiTM sebagai universiti awam terbesar di Malaysia sentiasa komited dalam usaha menyokong inisiatif KPT melalui dana PPRN bagi menghubungkan akademia dengan industri mikro, kecil dan sederhana yang dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025. Projek “Development of Edible Bird’s Nest (EBN) Bio-Peptides Supplement” telah diketuai oleh Ts. Dr. Eddie Tan Ti Tjih. Beliau telah menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh KPT dan Nanyang Dreams bersama dengan ahli penyelidikan yang lain iaitu Dr. Siti Nor Atika Baharin, Puan Nadya Hajar, Puan Naemaa Mohamad dan Puan Nur Rabiatul Adawiyah Mohammad Noor. Walaupun projek ini dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, para penyelidik UiTM kekal komited dalam melaksanakan  jalinan kerjasama simbiosis antara IPTA serta industri.

Penyelidik UiTM menggunakan teknologi enzim untuk melarutkan sarang burung. Bagi meningkatkan fungsi dan penyerapan khasiat sarang burung, mereka telah menukarkan protein sarang burung yang besar ke biopetida sarang burung yang mempunyai molekul kecil. Hasil biopetida yang dibangunkan ini mematuhi piawai yang ditetapkan oleh Peraturan-peraturan Makanan, 1985.

Lanjutan daripada itu, penghasilan produk inovasi ini dijangka mempunyai peluang pasaran yang tinggi. Manfaat kerjasama ini juga telah membuka peluang pekerjaan kepada pelajar UiTM, Cik Nurdarirah Nadirah binti Azmi Murat, selaku penolong penyelidik projek ini. Beliau mula bertugas sebagai Eksekutif Operasi, Penyelidikan dan Pembangunan di Nanyang Dreams International Trading Sdn. Bhd., sejurus selepas projek tersebut tamat pada bulan November 2021.

Menurut Profesor Dr. Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam majlis pelancaran produk hasil penyelidikan antara universiti dengan pihak industri, “Komitmen penuh yang diberikan oleh UiTM dan Nanyang Dreams International Trading Sdn. Bhd. bukan sahaja melahirkan barisan produk sarang burung yang bermutu tetapi juga telah mewujudkan jaringan kolaborasi yang amat bermanfaat kepada graduan UiTM dalam mendepani cabaran dunia pekerjaan kini”.

Usaha sama antara UiTM dengan pihak Nanyang Dreams International Trading Sdn. Bhd. diteruskan walaupun projek tersebut telah berakhir. Projek ini telah memberikan keyakinan kepada pihak industri untuk meneruskan kerjasama dalam penyelidikan sensori makanan bagi produk sarang burung pada masa yang akan datang.