LAWATAN KERJA INDEKS KELESTARIAN PROGRAM (IKP) DAN SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS (SDG) DARI UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

SHAH ALAM, 19 Jun 2023 – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah menerima kunjungan rasmi bagi lawatan kerja Indeks Kelestarian Program (IKP) dan Sustainable Development Goals (SDG) dari Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Lawatan kerja ini diadakan bertujuan untuk berkongsi idea dari segi kepakaran, pengalaman serta kemahiran pihak UiTM dalam pembangunan dan pelaksanaan IKP dan SDG.

Lawatan kerja ini disertai oleh 8 orang delegasi dari PKPA, UMK manakala pihak InQKA telah menjemput wakil dari Unit Hal Ehwal Kurikulum, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan Indeks Daya Saing Program Akademik (IDSPA) UiTM. Di samping itu, Pengarah Unit Penarafan, UiTM Global dan wakil dari Pusat Hijau UiTM turut dijemput bagi berkongsi inisiatif dan strategi penarafan di bawah SDG.

YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Najmi bin Masri, Pengarah PKPA UMK memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan fungsi utama dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran, kepimpinan akademik, pembangunan kurikulum serta penilaian dan pentaksiran. Lawatan kerja ke UiTM membolehkan pihak UMK menambahbaik keperluan untuk memastikan kemampanan program akademik yang ditawarkan dan sekaligus mampu menjamin nilai kebolehpasaran graduan yang dilahirkan.

YBhg. Prof. Dr. Azizah Abdullah, Penolong Naib Canselor InQKA mengucapkan terima kasih kepada pihak PKPA UMK serta wakil UiTM atas sesi perkongsian yang diberikan. Diharapkan sesi lawatan kerja seperti ini akan memberikan idea baharu dan membina jaringan baik antara kedua belah pihak.