Lawatan Kerja Education Malaysia Global Services (EMGS) Ke UiTM Cawangan Sabah

28 Januari 2022 (Jumaat) | YBhg. Datin Maizatul Akmam Binti Hj Alawi, Pengerusi Lembaga Pengarah Education Malaysia Global Services (EMGS) telah mengadakan lawatan kerja ke UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu. Ketibaan pihak EMGS disambut oleh YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Hj. Abdul Kadir Bin Hj. Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah bersama pengurusan tertinggi kampus.

Lawatan kerja pihak EMGS ke UiTM Cawangan Sabah bertujuan untuk membincangkan kerjasama dua hala dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa serta menarik minat pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan khususnya di negeri Sabah. EMGS merupakan penyedia perkhidmatan pendidikan yang mengetuai aktiviti pemasaran dan promosi bagi institusi dan produk pendidikan Malaysia di peringkat global seperti lawatan, penyertaan dalam pameran dan persidangan antarabangsa.

Sesi taklimat dan perbincangan turut disertai oleh Encik Mohd Radzlan Jalaludin selaku Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, YBhg. Datin Dr. Rafidah Binti Datuk Hj. Salleh (Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar), Dr. Firdausi Suffian (Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik) dan pengurusan tertinggi yang lain.