Annual General Meeting SMF FSK Sesi 2020/2021


Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 20 dan 22 Januari 2022: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menjalankan program tahunan persatuan iaitu “Annual General Meeting SMF FSK Sesi 2020/2021” secara hybrid, yang dijalankan selama dua hari, iaitu pada 20 Januari 2022 (Khamis) dan 22 Januari 2022 (Sabtu). Program ini telah menjemput seramai 49 orang ahli SMF yang terdiri daripada ahli SMF sesi 2021/2022 dan juga sesi 2020/2021. Objektif program ini dijalankan adalah untuk membentangkan laporan aktiviti dan laporan kewangan SMF bagi sesi 2020/2021, memperkenalkan calon-calon barisan kepimpinan SMF bagi sesi yang seterusnya, serta memberi penghargaan dan meraikan pencapaian cemerlang tampuk SMF sesi 2020/2021. Program ini telah diketuai oleh Saudari Ellen Eugenea M. Taguah yang merupakan pengarah bagi program tersebut.

Pada hari pertama program, yang mana merupakan sesi formal bagi program ini, Encik Romizan Bin Jathin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan merangkap Penasihat 1 SMF FSK telah dijemput untuk merasmikan program. Selain itu, sesi pembentangan bagi laporan aktiviti dan laporan kewangan SMF sesi 2020/2021 telah dijalankan agar semua ahli SMF, baharu dan lama peka dan mengambil tahu tentang perjalanan persatuan SMF sepanjang sesi 2020/2021. Pengumuman Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan 2021/2022 dan pengumuman barisan Majlis Tertinggi SMF 2021/2022 juga diselitkan dalam tentatif program ini. Slot ini merupakan sorotan bagi hari pertama program ini.

Pengisian bagi hari kedua program ini adalah sesi makan malam yang bertemakan “Kampung-Klasik”. Hari kedua program ini dihadiri oleh Mantan Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan 2020/2021 serta ahli SMF sesi 2020/2021. Program pada hari kedua dijalankan secara lebih santai yang mana terdapat slot persembahan daripada Majlis Tertinggi SMF 2020/2021 serta persembahan daripada beberapa ahli SMF sendiri. Bagi menunjukkan penghargaan atas kecemerlangan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh ahli SMF, penyampaian hadiah bagi Majlis Tertinggi Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Exco Terbaik telah dijalankan yang mana para pemenang telah dipilih berdasarkan daripada undian ahli SMF sendiri. Goodies juga telah disampaikan kepada semua ahli SMF sebagai tanda penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan bagi sesi 2020/2021.

Dengan berlangsungnya program ini, para ahli SMF mahasiswa telah berpeluang untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim antara ahli SMF sesi lama dan baharu serta mampu membina sifat kepimpinan dan kemahiran insaniah dalam setiap ahli SMF yang mampu membantu mereka dalam kehidupan seharian, khususnya ketika menjejak kaki ke alam pekerjaan kelak. Secara keseluruhannya, diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang agar ahli SMF menjadi lebih berkemahiran dalam hidup berorganisasi serta membina sifat kepimpinan yang sedia ada dalam diri mereka masing-masing.